Firma Jepun minat melabur di Johor

JOHOR BAHRU, 14 JUN – Kerajaan negeri sedang berbincang dengan tiga syarikat Jepun yang menunjukkan minat untuk membuat pelaburan bernilai lebih RM200 juta di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata dalam kenyataan bahawa pelaburan tersebut boleh menjana sehingga 500 pekerjaan bernilai tinggi.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sektor yang akan dilabur oleh syarikat tersebut.

Puah berkata beliau akan mengetuai misi pelaburan selama seminggu ke Osaka, Jepun dan Seoul, Korea, mulai esok untuk terus menarik pelabur baharu.

Misi itu sejajar dengan Dasar Pandang Ke Timur oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Puah akan disertai oleh pihak berkepentingan Iskandar Malaysia, termasuk Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) dan i2M Ventures, anak syarikat milik penuh Khazanah National Bhd.

Dalam misi itu, Puah dijadualkan menghadiri mesyuarat perniagaan dan seminar pelaburan di tiga lokasi yang menyasarkan untuk menarik pelabur dari sektor berteknologi tinggi, bernilai tinggi dan berimpak tinggi.

Selain itu, negeri Johor dan i2M akan menganjurkan acara ‘Peluang Kerjaya di GBS Iskandar’ di Tokyo untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang pekerjaan di Iskandar Puteri. – Bernama

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Ultiliti Jimmy Puah Wee Tse (kanan) ketika sidang media mengenai Misi Perdagangan ke China di Pejabat JBCCCI. – Bernama