Firma Jerman laksana skim waktu kerja lebih singkat

FRANKFURT AM MAIN, 3 JUN – Krisis koronavirus mendorong firma Jerman meluluskan skim waktu bekerja lebih singkat untuk 11.7 juta pekerja sejak Mac, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, kadar pengangguran meningkat kepada 6.3 peratus pada Mei, bersamaan dengan kira-kira 2.8 juta orang, daripada 5.8 peratus pada April, kata agensi pekerja persekutuan BA.

Sebelum wabak koronavirus, pengangguran Jerman kekal pada kira-kira 5 peratus sejak Ogos 2018, tatkala ekonomi Eropah menikmati keadaan melambung selepas krisis kewangan.

Sekarang, ‘pasaran pekerja masih menerima tekanan disebabkan pandemik koronavirus’ dan ‘skim waktu kerja lebih singkat telah melebihi tahap yang dilihat semasa krisis 2009,” kata ketua BA Detlef Scheele dalam satu kenyataan.

“Permintaan syarikat untuk pekerja masih merosot, tetapi tidak lagi bebas,” tambah beliau. Data hari ini menunjukkan syarikat telah memohon 11.7 juta pekerja diberikan waktu kerja lebih pendek di antara Mac dan Mei.

Di bawah skim itu, dikenali di Jerman sebagai ‘Kurzarbeit’ dan ditiru di luar negara sejak kejayaan skim sedemikian selepas krisis kewangan 2008, kerajaan membayar untuk ganti gaji pekerja.

Namun dari segi bayaran sebenar, agensi hanya telah mengumpul data untuk Mac setakat ini, di mana lebih dua juta dibayar di bawah skim itu.

Skim waktu kerja lebih pendek merupakan sebahagian daripada pakej sokongan ekonomi bernilai satu trilion euro yang diputuskan apabila pandemik meletus pada Mac di negara itu.

Pada minggu ini, kerajaan gabungan Canselor Angela Merkel akan mengemukakan butir-butir pelan pelancaran semula selepas koronavirus yang dijangka menawarkan puluhan bilion euro dalam wang tunai baharu. – AFP

Canselor Jerman Angela Merkel (kanan) dan Menteri Kewangan Jerman Olaf Scholz menghadiri mesyuarat kabinet mingguan di Bangunan Canselor, Berlin, Jerman kelmarin. – AFP