Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    Firma kitar semula bantu tangani sisa plastik di Jakarta

    TANGERANG, INDONESIA – Ketika ibu kota Indonesia, Jakarta bergelut dengan sisa plastik yang meningkat dan pencemaran melimpah ke laut, sebuah perniagaan yang sedang berkembang cuba menjadikan sampah sebagai hasil pendapatan.

    Tridi Oasis Group, yang menggaji 120 orang telah mengitar semula lebih 250 juta botol sejak ia ditubuhkan enam tahun lalu.

    “Saya tidak melihat plastik yang dibuang sebagai sampah. Bagi saya, ia adalah bahan berharga di tempat yang salah,” kata pengasas berusia 35 tahun, Dian Kurniawati kepada AFP.

    Indonesia telah berjanji untuk mengurangkan sisa plastik sebanyak 30 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, satu tugas besar di ne-gara Asia Tenggara yang mempunyai hampir 270 juta orang di mana kitar semula plastik jarang berlaku.

    Negara itu menjana kira-kira 7.8 juta tan sisa plastik setiap tahun, dengan lebih separuh disalahuruskan atau dilupuskan secara tidak wajar, menurut Bank Dunia.

    Seorang pekerja menunjukkan serpihan bahan plastik yang diproses di sebuah kilang kitar semula plastik di Tangerang, wilayah Banten. – AFP

    Para pekerja melakukan proses pengasingan botol-botol plastik. – AFP

    Syarikat Kurniawati menerima plastik daripada pusat kitar semula di seluruh kawasan Jakarta yang lebih besar yang mempunyai 30 juta orang di kilangnya di luar bandar wilayah Banten.

    Kemudian syarikat itu mengeksport plastik kitar semula ke negara Eropah dan juga mengedarkannya secara tempatan untuk diproses dan digunakan sebagai pembungkusan atau tekstil.

    Kurniawati meletak jawatan daripada kerja perundingnya untuk memulakan firma itu, menangani cabaran besar yang dihadapi oleh negara keempat paling ramai penduduk di dunia dalam menangani krisis plastik.

    Sebagai salah seorang pemula gerakan ‘Beach Clean Up Jakarta’, dia melihat bagaimana Jakarta dipenuhi dengan sisa plastik dan kecewa kerana tidak banyak yang dilakukan untuk mengubah keadaan.

    ‘Masalah kita’
    Beratus-ratus longgokan botol plastik yang dihancurkan tersusun rapi di kilang, sedia untuk dipilih bagi memastikan tiada label atau penutup tertinggal.

    Botol-botol itu kemudiannya dibersihkan dengan teliti untuk menghapuskan pencemaran sebelum dipotong menjadi kepingan kecil, yang akan diangkut kepada pelanggan untuk diproses dan digunakan semula sebagai pembungkusan atau tekstil.

    Fajar Sarbini, seorang pekerja berusia 24 tahun, berharap lebih ramai rakyat Indonesia akan mula mengitar semula.

    “Orang ramai membuang sampah mereka tanpa berfikir, sekurang-kurangnya mereka perlu menyusun bahan tajam supaya mereka tidak mencederakan pemungut sampah,” katanya.

    Jakarta tidak mempunyai sistem kutipan perbandaran untuk sisa isi rumah dan tidak mempunyai kemudahan pembakaran.

    Dengan trend hijau yang semakin meningkat dan kehendak generasi muda untuk hidup dengan lebih mampan berkembang, negara itu bukannya tiada harapan.

    “Indonesia sedang bergerak pantas kerana kami mendapat bantuan daripada media sosial dan kempen belia,” kata Kurniawati.

    Tetapi beliau berkata masalah sisa yang dihadapi negara itu amat besar dengan peraturan menggalakkan plastik dikitar semula masih kurang.

    “Sisa plastik adalah masalah kami dan menyelesaikannya memerlukan usaha bersepa-du semua orang,” katanya.

    “Ia tidak boleh diselesaikan oleh pihak kerajaan atau syarikat kitar semula, semata-mata,” ujarnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...