DHAKA, 25 MEI – Transsion Holdings, pengeluar telefon pintar yang berpangkalan di China, kelmarin merasmikan kilang ISMARTU bagi memenuhi permintaan peranti pintar yang semakin meningkat di Bangladesh, lapor Xinhua.
SMARTU Technology BD Limited, anak syarikat Transsion Holdings, mengeluarkan jenama pintar popular seperti TECNO, Itel, Infinix, Oraimo dan Syinix.
Fasa pertama kilang baharu itu yang terletak di Zon Ekonomi Perindustrian Meghna, Narayanganj, dibangunkan dengan jumlah pelaburan kira-kira AS$22 juta di kawasan lebih 22,000 meter persegi.
Ia dilengkapi teknologi terkini dan mematuhi piawaian antarabangsa yang tinggi untuk kualiti dan keselamatan.
Pengerusi Transsion Holdings, Zhu Zhaojiang, menyifatkan negara Asia Selatan itu sebagai pasaran strategik untuk pengembangan perniagaan syarikat. Zhu yakin pelaburan di Bangladesh melalui ISMARTU bukan sahaja akan mempercepat pembangunan tempatan syarikat bahkan dapat menyumbang kepada proses pendigitalan dan pemodenan Bangladesh.
Bercakap menerusi pautan video pada majlis perasmian itu, Menteri Pos dan Telekomunikasi Bangladesh, Mustafa Jabbar, berkata langkah itu sejajar dengan komitmen kerajaan untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat. – Bernama
