‘Firma vaksin mesti tunaikan janji’

BRUSSELS, 26 JAN – Syarikat yang menghasilkan vaksin COVID-19 ‘mesti menunaikan janji,’ kata ketua Kesatuan Eropah (EU) Ursula von der Leyen hari ini tatkala ketegangan meningkat di antara Suruhanjaya Eropah dan firma farmaseutikal berhubung penghantaran vaksin tertunda.

“Eropah melabur berbilion dolar untuk membantu membangunkan vaksin COVID-19 pertama di dunia,” kata beliau dalam ucapan yang disiarkan menerusi video pada Forum Ekonomi Dunia yang biasanya diadakan di Davos, Switzerland.

“Dan sekarang, syarikat-syarikat berkenaan mesti menunaikan janji mereka,” kata beliau.
Suruhanjaya menuntut jawapan daripada kumpulan British-Sweden, AstraZeneca dan syarikat AS, Pfizer mengenai penangguhan penghantaran yang diumumkan oleh mereka ke Kesatuan Eropah.

Dalam tanda kebimbangan bahawa kumpulan farmaseutikal mungkin menjual dos yang diperuntukkan kepada pembida lebih tinggi di luar blok, ia mengambil keputusan untuk mewajibkan syarikat supaya memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang mana-mana eksport di luar EU.

Von der Leyen menekankan inisiatif tersebut dalam ucapannya, berkata ‘kami akan menubuhkan mekanisme ketelusan eksport vaksin’ untuk ‘memastikan’ firma memenuhi kewajipan kontrak mereka terhadap EU.

Isu itu adalah sensitif kepada von der Leyen, yang mempelopori usaha untuk memperoleh lebih daripada dua bilion dos vaksin untuk 27 negara anggota blok, tempat tinggal kepada 450 juta orang.

Minggu lalu, selepas Pfizer mengumumkan penundaan dalam hantaran, janji von der Leyen untuk memvaksinkan 70 peratus daripada orang dewasa di EU menjelang akhir Ogos nampaknya terjejas. – AFP

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen bercakap semasa sidang media dengan Presiden Majlis Eropah pada akhir sidang kemuncak EU di ibu pejabat Majlis Eropah di Brussels.Ursula meminta syarikat yang menghasilkan vaksin COVID-19 supaya menunaikan janji mereka. – AP