Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Di zaman yang serba canggih ini, jenayah fitnah semakin mudah disebarkan melalui hujung jari sahaja.
“Ia boleh dilakukan melalui teknologi maklumat seperti Internet yang mampu menyebarkan apa juga maklumat dengan sekelip mata tanpa dapat dibendung.
“Kemudahan itu telah disalahgunakan bagi mengancam atau pun menjatuhkan seseorang mahupun sesebuah organisasi. Perkara ini boleh mengganggu gugat keharmonian dan keamanan hidup berkeluarga, bermasyarakat dan juga bernegara,” tekan khatib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Fitnah di Hujung Jari.
Dalam hal ini, ujarnya lagi, kecanggihan teknologi maklumat tidak dapat disalahkan sepenuhnya tetapi diri manusia yang harus dipertanggungjawabkan.
Setiap manusia diciptakan dengan akal fikiran yang dapat menilai perkara yang baik dan juga yang buruk. Dalam agama Islam, katanya, menabur fitnah itu perbuatan yang haram, tercela dan termasuk dalam dosa-dosa besar.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/11/P4-A-web_11112023.jpg)
Sesungguhnya fitnah adalah tuduhan, khabar, kisah dan seumpamanya, yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang.
Dalam pada itu, khatib turut mengingatkan kita hendaklah sentiasa berhati-hati dalam menjaga diri kita daripada perbuatan menabur fitnah. Sentiasalah kita mengamalkan tabayyun atau pun budaya semak sebelum sebar kerana dikhuatiri informasi, berita dan maklumat yang dikongsikan adalah palsu dan tidak benar.
Di samping itu, beliau turut mengongsikan Imam Al-Ghazali Rahimahullahu Taala dalam kitabnya Ihya ‘Ulumuddin menyebutkan enam perkara yang patut dipegang oleh seseorang untuk menghadapi fitnah tersebut iaitu jangan membenarkan cakapnya, kerana orang yang membawa fitnah adalah fasik (jahat) dan orang yang fasik tidak diterima untuk menjadi saksi; dan cegahlah ia daripada berbuat fitnah itu dan menasihatinya agar tidak mengulangi lagi; dan hendaklah dia marah kepada si pembawa fitnah itu kerana Allah SWT, sebab orang itu amat dibenci oleh Allah, sedangkan membenci apa yang dibenci Allah adalah wajib hukumnya.
Tambahnya lagi, tiga perkara lain yang patut dipegang oleh seseorang untuk menghadapi fitnah tersebut menurut Imam Al-Ghazali dalam kitab berkenaan ialah jangan menyimpan prasangka buruk terhadap orang yang difitnah itu; dan jangan mengintip dan mengintai untuk mencari maklumat tambahan apa yang diberitakan kepadanya; dan jangan turut serta memfitnah dan jangan menceritakan kepada orang yang difitnah yang seseorang telah memfitnahnya begini dan begitu kerana ia akan turut sama menjadi pemfitnah dan pengumpat.
Oleh yang demikian, khatib antaranya mengingati bahawa kita hendaklah sentiasa berhati-hati dan menjaga diri kita daripada perbuatan menabur fitnah.
Ini kerana bahaya fitnah itu bukan sahaja menyebabkan kita mendapat dosa besar malah mengakibatkan kita tidak akan dapat memasuki syurga Allah SWT.
Khatib turut menekankan bahawa perbuatan menabur fitnah itu mengundang kepada perpecahan dan perbalahan seperti menjadi punca kepada timbulnya salah faham, pertengkaran dan perselisihan sehingga menyebabkan hubungan adik-beradik menjadi renggang, suami isteri bercerai-berai, keluarga bermasalah, rakan bermusuhan, masyarakat kucar-kacir dan seumpamanya.
Tambahnya, memandangkan perbuatan menabur fitnah itu menjurus kepada keburukan, perpecahan dan perbalahan khususnya kepada masyarakat, marilah kita mentarbiahkan diri kita, keluarga kita dan masyarakat dengan saling menasihati dan tegur menegur terhadap perbuatan yang membawa kepada dosa dan maksiat.
Apatah lagi yang membawa kepada dosa-dosa besar seperti membuat dan menabur fitnah. Tanamkanlah dalam diri kita sikap berhati-hati agar kita tidak terjebak dalam bencana bahaya fitnah.
“Gunakanlah akal fikiran yang telah dikurniakan Allah SWT itu dengan wajar dan sebaik-baiknya. Marilah kita sama-sama muhasabah diri pada sisa usia yang masih ada ini, agar kita dapat berusaha menjaga setiap tingkah laku dan tutur kata kita.
Sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT melindungi kita daripada melakukan perbuatan yang boleh mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT,” kata khatib semasa mengakhiri khutbahnya.