Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Pusat kecergasan Fitness Zone sekali lagi telah mengadakan kempen menderma darah bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan slogan ‘A Gift of Life – From Us to You’.
Kempen berkenaan telah diadakan di Studio 1, Fitness Zone, Kiulap, hari ini , dari jam 12 tengah hari hingga jam 4 petang dengan sokongan daripada Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC).
Pengarah Urusan Fitness Zone, Wu Chun ketika ditemui semasa sedang menderma darah menjelaskan bahawa pendermaan darah merupakan pengalaman bermanfaat yang bukan sahaja untuk mendermakan kepada mereka yang memerlukannya, tetapi juga bagi kesejahteraan badan penderma itu juga.
“Dengan menderma darah, anda menyelamatkan nyawa manusia, selain itu bekalan darah juga diperlukan oleh pihak hospital. Ia merupakan sumbangan kecil namun memberikan impak positif yang besar kepada yang lain dan memberikan perubahan,” jelas Wu Chun.
“Lazimnya, kami mengadakan kempen menderma darah dua kali setahun dan salah satunya bersempena dengan hari jadi saya. Namun pada kali ini, ia juga bertepatan dengan Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, oleh yang demikian ianya merupakan sambutan yang lebih besar dan lebih bermakna,” tambahnya.
Menurutnya lagi, beliau juga membawa anak perempuannya untuk melihat sendiri dan mengetahui bahawa menderma darah dapat membuat perubahan.
“Kanak-kanak perlu mengetahuinya ketika usia mereka masih muda agar sesudah mereka membesar, mereka tidak takut untuk melakukan pendermaan darah dan sudah terbiasa melakukannya,” ujar Wu Chun.
Sebagai dorongan, setiap penderma telah diberikan dua pas Fitness Zone selama seminggu agar mereka berpeluang menyertai latihan kumpulan dan kemudahan gim di sana.
Kempen menderma darah tersebut telah disertai oleh ahli-ahli Fitness Zone, para tetamu undangan dan orang ramai yang terdiri daripada penderma yang kerap dan baru.