FITRAH sediakan program hidroponik bagi pelajar berkeperluan khas

Oleh Salawati Haji Yahya

BELAIT, 7 SEPT – Sekolah Rendah (SR) Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin, Pandan, baru-baru ini, telah menerima sumbangan daripada Persatuan Pendidikan Khas lebih dikenali dengan nama FITRAH, untuk menyediakan program hidroponik bagi pelajar berkeperluan khas di Bangunan Nurhikmah.

SR Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin adalah salah sebuah sekolah Model Inklusif (MIS) sejak 2009 bagi Daerah Belait dan mempunyai seramai 81 orang pelajar berkeperluan khas di mana 44 orang daripadanya adalah pelajar berkeperluan khas tahap tinggi.

Bangunan Nurhikmah telah diserahkan kepada pihak sekolah pada 23 November 2010 dan blok Nurhikmah mula digunakan pada 3 Januari 2011.

Ini adalah inisiatif Persatuan FITRAH yang ke-2, di mana inisiatif pertama adalah mengadakan majlis Sambutan Hari Raya yang diselajurkan dengan penyerahan sumbangan kaca mata bagi pelajar yang mempunyai masalah penglihatan.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan mereka boleh berhubung dengan Timbalan Pengerusi FITRAH, Dr Hajah Norbayah binti Haji Shahminan.

Persatuan FITRAH telah ditubuhkan pada 1998 untuk membantu pihak sekolah mengutip dana dalam menyediakan atau menjalankan program-program yang bersesuaian untuk persediaan masa depan para pelajar berkeperluan khas.

Guru SENA, Harifah bersama ibu bapa pelajar berkeperluan khas di sekolah itu.