SWITZERLAND, 4 SEPT – Matt Fitzpatrick dan Robert MacIntyre menempah tempat mereka dalam pasukan Eropah untuk Piala Ryder, kelmarin, meraih dua tempat automatik terakhir pada hari terakhir Masters Eropah di Swiss Alps.
Bekas juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Fitzpatrick dan MacIntyre menyertai Tyrrell Hatton, Viktor Hovland, Rory McIlroy dan Jon Rahm yang sudah layak dalam pasukan untuk pertarungan 29 September hingga 1 Oktober menentang AS di Rom.
Enam tempat yang tinggal dalam pasukan Eropah akan didedahkan hari ini apabila Luke Donald mengumumkan pemilihannya sebagai kapten.
Fitzpatrick layak bersama Hatton dan Hovland dalam World Point List berikutan kedudukan seri ketiganya dalam Masters Eropah.
Dia akan bermain dalam Piala Ryder buat kali ketiga.
MacIntyre dari Scotland akan membuat penampilan sulungnya dalam pertandingan dwitahunan itu, layak menerusi World Point List bersama McIlroy dan Rahm.
“Terdapat banyak peristiwa penting dalam setiap perjalanan Piala Ryder tetapi tidak ada persoalan bahawa memuktamadkan kelayakan automatik untuk Pasukan Eropah adalah salah satu daripadanya,” kata kapten Donald, kelmarin.
“Keenam-enam pemain itu adalah pemain yang menonjol sepanjang tempoh kelayakan dan saya gembira mengalu-alukan setiap seorang daripada mereka secara rasmi ke pasukan 2023.”
Sementara itu, Ludvig Aberg dari Sweden meraih kejuaraan jelajah sulung di Masters Eropah. – AFP
