Enam bulan berpisah dengan cara baik, penyampai radio Suria FM, Fizi Ali tiba-tiba meluahkan rasa marah terhadap bekas isterinya Shakilla Khoriri di akaun Instagram miliknya pada hari ini.
Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin turut berkata, dia sudah hilang sabar dengan tindakan bekas isterinya yang juga seorang pelakon itu.
“Sabar itu ada tahapnya. Jangan sampai tahap kesabaran itu hilang.
“Aku hormat sebelum ini sebab kau mak kepada anak aku dan kita pernah bersama. Kau semakin lama semakin melampau,” katanya.
Tidak mendedahkan hal sebenar, Fizi juga memberitahu apa yang berlaku memberi kesan buruk kepada hidupnya.
Dalam hal ini, Fizi berkata dia enggan mendedahkan punca perpisahan mereka pada Disember lalu disebabkan mahu menjaga aib bekas isterinya itu.
“Aku tak nak buka mulut sebab nak menjaga aib kau. Hidup aku dah terjejas sekarang, aku hilang semua benda. Semua disebabkan kau. Tak sedar lagi kah?” ujarnya. – Agensi