Flamengo pilihan utama Rafinha

RIO DE JANEIRO, 10 Jan – Pemain Bayern Munich, Rafinha mendedahkan bahawa dia telah mengadakan perbincangan awal mengenai perpindahan ke kelab gergasi Rio de Janeiro, Flamengo.

Kontrak pemain berusia 33 tahun itu bersama juara bertahan Bundesliga itu akan berakhir pada Mei ini, bermakna dia kini bebas untuk menandatangani kontrak awal bersama kelab lain.

“Kami duduk berbincang. Saya telah melihat rancangan Flamengo dan menyukainya,” kata Rafinha dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pengurusannya.

“Saya mahu terus memenangi trofi dan melihat Flamengo mempunyai kemungkinan itu. Terdapat kepentingan bersama dan kami semakin hampir menyempurnakan perjanjian.

“Masih terdapat beberapa perincian yang perlu diselesaikan dan saya berharap kami akan dapat melakukannya dengan secepat yang mungkin.

Saya mahu menjelaskan bahawa Flamengo akan menjadi pilihan utama saya sekiranya kembali ke Brazil.”

Rafinha, membuat penampilan empat kali bersama skuad kebangsaan Brazil, membuat 172 penampilan dalam saingan Bundesliga bersama Bayern sejak berpindah dari Genoa pada 2011.

Flamengo sibuk meningkatkan keupayaan skuadnya sejak berakhir di tempat kedua dalam kejuaraan Serie A 2018 Brazil, bulan lalu.

Antara mereka yang komited kepada kelab sejak beberapa minggu kebelakangan adalah pemain Brazil, Rodrigo Caio dan penyerang Grabriel Barbosam yang dalam pinjaman dari Inter Milan minggu ini. – Xinhua