Flamengo rangkul gelaran Rio ke-36

RIO DE JANEIRO, 17 JULAI – Flamengo memenangi trofi kejuaraan ke-36 Rio setelah meraih kemenangan 1-0 pada perlawanan akhir pusingan kedua menentang Fluminense, di mana Flamengo memiliki kelebihan agregat setelah menewaskan 2-1 pada perlawanan pusingan pertama.

Satu-satunya jaringan lewat Vitinho pada minit ke-95 semalam memastikan kemenangan untuk kelab legenda Rio de Janeiro itu, yang juga selaku juara bertahan, juara Copa Libertadores 2019 dan Liga Juara-Juara Amerika Selatan.

Liga Campeonato Carioca adalah yang pertama disambung semula di Amerika Selatan pada 18 Jun lalu setelah bola sepak di benua itu dihentikan kerana wabak COVID-19.

Di antara 26 liga di Brazil, liga kejuaraan di Santa Catarina, di selatan negara itu, disambung semula pada minggu lalu sebelum tergendala tiga hari kemudian setelah penemuan 14 kes COVID-19 baharu di kalangan kakitangan dan pemain di Chapecoense.

Pada Isnin lalu, liga kejuaraan di Ceara, di timur laut, juga disambung semula dan akan diikuti oleh beberapa liga lain.

Liga Kejuaraan Rio disambung semula di tengah kontroversi, dengan Flamengo berkeras untuk kembali bermain semula sementara Fluminense dan Botafogo, dua dari empat kelab besar di bandar itu, memboikotnya, dengan mengatakan bahawa bola sepak itu bukanlah menjadi satu keutamaan. – AFP

Aksi pasukan Flamengo ketika meraikan kemenangan trofi liga kejuaraan Rio de Janeiro di Stadium Maracana, Rio de Janeiro, Brazil, semalam. Perlawanan dimainkan tanpa penonton untuk mengekang penularan COVID-19. – AFP