Flick: Jangan bandingkan Lewandowski dengan Messi

LISBON, 14 OGOS – Pengurus Bayern Munich, Hansi Flick tidak mahu memperdebatkan sama ada penyerang, Robert Lewandowski lebih hebat daripada bintang Barcelona, Lionel Messi sebelum pertemuan Liga Juara-Juara pusingan suku akhir hari ini di Lisbon.

Barca akan bertemu Bayern di Estadio da Luz untuk merebut tempat pusingan separuh akhir pada Rabu depan.

Sebelum pertemuan berlangsung, banyak perdebatan dibincangkan sama ada Lewandowski, penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 13 gol dalam tujuh perlawanan, atau pemenang Ballon d’Or enam kali, Lionel Messi adalah pemain yang lebih baik.

Sebelumnya, jurulatih Barca, Quique Setien berkata Lewandowski ‘jelas sekali’ tidak berada di tahap yang sama dengan Messi selepas bintang Bayern, Lothar Matthaeus berkata penyerang Poland telah mengatasi pemain Argentina selaku pemain terbaik dunia.

“Anda tidak dapat membandingkan kedua-dua pemain itu,” tegas Flick.

Aksi Lewandowski semasa sesi latihan menjelang pertemuan menentang Barcelona. Jurulatih Hansi Flick berkata kehebatan Lewandowski tidak dapat dibandingkan dengan bintang Barca, Lionel Messi. – AP

“Robert jelas sekali seorang pemain terbaik sebagai seorang penyerang tengah.

“Dia mempunyai banyak kualiti, terutama dalam kawasan kotak penalti, dia menjamin jaringan gol dan mencipta peluang gol.

“Messi setakat ini adalah pemain terbaik di dunia selama beberapa tahun.

“Saya tidak tahu sama ada akan adanya pemain sepertinya lagi”.

Lewandowski menikmati musim terbaiknya dengan setakat ini menjaringkan 53 gol dari pada 44 perlawanan, sementara Messi berjaya menjaringkan 31 gol daripada 43 perlawanan.

Namun, Bayern yang sedang memburu gelaran treble perlu membuat perancangan untuk mengekang Messi.

“Anda tidak dapat bermain berseorangan menentang Messi. Dalam perlawanan terdahulu (melawan Bayern) menentang Messi, kami mencatat prestasi baik apabila seluruh pasukan memainkan peranan masing-masing,” kata penyerang Bayern, Thomas Mueller.

“Kami perlu bertindak secara berpasukan, membuat tekanan secara agresif, tetapi dengan kemas.

“Ia akan menjadi menarik tetapi dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perlawanan kami menunjukkan bahawa kami mampu melakukannya,” tambahnya. – AFP