Floor 88 beralih bidang

Kumpulan Floor 88 mengaku terpaksa beralih arah ke bidang lakonan demi survival dalam bidang seni.

Vokalisnya, Ayie Elham berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat kerjaya muzik semakin suram, lebih-lebih lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan berikutan penularan wabak COVID-19.

“Sejak PKP tawaran mengadakan persembahan semakin berkurangan. Penganjur tidak buat konsert. Situasi itu membuatkan kami rasa terbeban.

“Jadi, Floor 88 kena cari inisiatif meneruskan kelangsungan dalam dunia seni. Apa yang kami nampak adalah dengan beralih ke bidang lakonan.

“Kebetulan, tahun lalu kami pernah membintangi telefilem berjudul Tok Moh Talent Agency.

Floor 88 cari inisiatif meneruskan kelangsungan dalam dunia seni. – Agensi

“Sekarang, kami bersiap-sedia menjalani penggambaran sebuah telefilem yang dijangka disiarkan Oktober depan. Sasaran kami setiap tahun perlu ada sebuah telemovie yang dilakonkan,” katanya kepada media.

Tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Zalikha dan Hutang ini, mereka sangat bertuah kerana pemain keyboard, Erid Fuzi berpengalaman dalam bidang produksi.

“Erid ada pengalaman dalam bidang lakonan. Dia ada ramai kenalan dalam kalangan warga produksi. Ini dapat membantu kami bergiat aktif dalam dunia lakonan. Malah, telefilem pertama yang kami lakonkan adalah arahannya,” katanya ditemui pada majlis pelancaran Ayie Elham Cafe di Setapak, di sini, baru-baru ini.

Januari lalu, Ayie atau nama penuhnya, Nik Fadlee Elhamshah pernah rebah di pentas ketika menjayakan sebuah persembahan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Selepas lapan bulan berlalu, Ayie memberitahu, kesihatan termasuk pita suara yang dilaporkan koyak sebelum ini, sudah semakin pulih.

“Alhamdulillah, saya sudah semakin sihat. Menyanyi pun sudah tidak sakit. Selepas mendapat rawatan, selain diberi ubat, doktor menasihatkan saya banyak berehat.

“Penyakit saya tidak serius. Cuma saya perlu cukup rehat atau dalam keadaan tertekan, pasti sakit itu datang. Keadaan ini saya alami sejak kecil lagi. Kalau terlalu penat, saya akan pengsan,” katanya. Sementara itu, mengulas perniagaan kafe yang diusahakan bersama keluarga itu, penyanyi yang berasal dari Sabah ini berkata, langkah itu adalah sebagai persediaan jika dia tidak lagi aktif dalam bidang nyanyian. – Agensi