Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Floor 88 dikecam pilih ‘perosak lagu’

    Memilih berkolaborasi dengan penyanyi popular Indonesia, Raffa Affar, namun, keputusan kumpulan Floor 88 mendapat tentangan ramai.

    Menerusi ruangan komen dalam media sosial, vokalis Floor 88, Ayie Elham mendedahkan, kebanyakan peminat mempersoalkan cara nyanyian penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Sampai Mati hingga melabelkannya sebagai ‘perosak lagu’.

    Penilaian dibuat berdasarkan lagu Tiara dendangan asal kumpulan Kris yang dinyanyikan semula Raffa apabila versinya menjadi perdebatan dan didakwa menghancurkan karya indah ciptaan komposer tersohor, Datuk M Nasir.

    Berkongsi pandangannya, Ayie mempertahankan cara nyanyian Raffa, malah, menyifatkannya sebagai memiliki keunikan tersendiri.

    “Apabila mengumumkan bakal berkolaborasi dengan Raffa, ramai memberi komen tidak memberangsangkan. Saya tidak anggap nyanyian Raffa merosakkan lagu, tetapi lebih kepada gayanya tersendiri.

    Keputusan kumpulan Floor 88 berkolaborasi dengan Raffa Affar mendapat tentangan ramai. – Agensi

    “Kami memiliki persamaan dan saya melihat Raffa sama seperti saya pada awal kemunculan dahulu.

    “Saya juga banyak membuat lagu saduran penyanyi lain seperti kumpulan Alleycats dan Hael Husaini, tetapi versi nyanyian saya tersendiri.

    “Saya bukan penyanyi yang bagus kerana pernah beberapa kali terkucil. Jadi, tak perlulah rasa riak.

    “Saya mahu menjadikan kolaborasi ini sebagai peluang untuk mempertingkatkan cara nyanyian,” katanya kepada media.

    Selain Ayie, Floor 88 dianggotai Achoi selaku pemain gitar, Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

    Selain menjadi strategi memperkukuhkan nama Floor 88 di republik itu, keputusan berkolaborasi dengan Raffa kerana menghargai sokongan diberikan penyanyi itu.

    “Sebelum ini, Raffa pernah menyatakan berminat dengan Floor 88. Kami juga mengikuti perkembangan dalam media sosial.

    “Memandangkan nama Floor 88 semakin dikenali di Indonesia disebabkan lagu Hutang, jadi memang sesuai untuk kami berkolaborasi dengannya.

    “Kiranya lagu duet ini juga antara alasan kukuh untuk kami menembusi pasaran muzik di Indonesia. Kami tidak mahulah hanya bersandarkan kepada lagu Hutang semata-mata.

    “Lagu sudah siap dan hanya menunggu masa sesuai untuk memasuki studio rakaman. Jika boleh, kami tak mahu melakukan rakaman secara berasingan.

    “Bila melakukan rakaman dan perlu penambahbaikan, kami boleh melakukan bersama ketika itu juga. Tentunya, kami mahu hasilkan karya yang berkualiti,” katanya pada majlis pelancaran album Infinity dan sambutan ulang tahun ke-5 Floor 88, baru-baru ini.

    Mengulas perjalanan kerjaya selepas lima tahun berada dalam belantara seni, Ahcoi bersyukur hubungan yang terjalin selama 13 tahun terus kekal walaupun ada pasang dan surut.

    “Kami sudah 13 tahun saling mengenali dan memahami sikap masing-masing. Setakat ini, tidak pernah berlaku perbalahan teruk hingga membawa kepada perpecahan.

    “Jika bergaduh pun, kami akan berbaik semula. Kami tidak pernah mahu membesarkan isu remeh dan semua anggota Floor 88 tak pernah mengalami kejutan budaya,” ujarnya.

    Tidak semata mengejar populariti, Ahcoi berkata, mereka berkarya atas dasar minat dan ikhlas.

    “Bila menghasilkan lagu, kami tidak pernah mengharapkan lagu menjadi hits atau mendapat jumlah tontonan tinggi. Kalau boleh pergi jauh, kami bersyukur.

    “Jika berkarya hanya mahu kejar jumlah tontonan dan keuntungan, sampai bila-bila kita akan berada di takuk lama dan tak berani nak cuba perkara baharu,” tegasnya.

    Infinity merupakan album kompilasi terbaik yang memuatkan 10 buah lagu popular Floor 88. Antaranya, Zalikha, Aqilah, Roadblock Hatiku, Yang Benar, Hutang, Original Sabahan, Chikadun, 24434 dan single baharu, Sahabat. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...