Florence: Lebih sejuta diarahkan berpindah

CHARLESTON, 11 Sept – Taufan kuat Florence sedang menuju ke arah Pantai Timur Amerika Syarikat (AS) hari ini, yang mendorong pihak berkuasa untuk mengarahkan sehingga satu juta penduduk untuk berpindah ketika ribut Kategori Empat itu mengumpul kekuatan angin mencecah sehingga 220 ksj.

Penduduk kini bergegas untuk menyelamatkan diri secara beramai-ramai apabila taufan kuat itu semakin menghampiri Pantai Timur AS.

“Ini adalah salah satu daripada taufan paling buruk yang melanda Pantai Timur dalam beberapa tahun ini,” kata Presiden Donald Trump di Twitter. ‘Sila bersiap sedia dan berhati-hati.’

Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster berkata, sehingga sejuta penduduk di pantai timur negeri itu diarah mengosongkan kediaman mereka menjelang ketibaan ribut berkenaan Khamis ini.

Sementara itu, Gabenor Carolina Utara pula mengarahkan pengosongan Outer Banks, destinasi pelancongan popular dan sebahagian pesisir pantai Daerah Dare, manakala perintah darurat telah diisytiharkan di Virginia.

Para penduduk ketika mengisi beg pasir di kawasan perbandaran Isle of Palms, kelmarin, di mana bandar itu memberikan pasir percuma sebagai persiapan bagi menghadapi taufan Florence. – AP

“Ini adalah taufan yang amat bahaya. Kami tidak mahu meletakkan satu nyawa pun dalam bahaya di Carolina Selatan.

“Kita akan berhadapan dengan banjir besar dan arahan pemindahan bagi wilayah pesisir pantai adalah mandatori, bukan sukarela,” katanya pada sidang akhbar.

Taufan Florence berpotensi membawa bencana banjir ke kawasan timur AS yang sudah pun menerima hujan lebat dan mungkin menjadi ribut paling kuat pernah melanda wilayah itu dalam masa beberapa dekad.

Berada pada Kategori Empat daripada skala lima tahap Saffir-Simpson, Florence berada 844km ke selatan tenggara Bermuda.

Pusat taufan diramal melepasi antara Bermuda dan Bahamas hari ini serta esok, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) dalam amaran yang dikeluarkan pada jam 5 petang waktu tempatan semalam.

“Buat masa ini, Florence bergerak ke barat pada kelajuan 20 km sejam dan ia bertambah kuat dengan cepat serta dijangka menjadi taufan yang amat bahaya menjelang Khamis ini,” kata NHC. – AFP