Flybe muflis kerana koronavirus

LONDON, 5 MAC – Sebuah daripada syarikat penerbangan terbesar Britain, Flybe muflis hari ini dengan para penum-pang terkandas ketika epidemik koronavirus membawa impak besar ke atas perjalanan udara di seluruh dunia.

Satu kenyataan di laman web Flybe mengatakan syarikat penerbangan tambang murah itu yang mempunyai 2,000 orang pekerja, sudah pun memasuki fasa pentadbiran dan tidak boleh mengatur sebarang penerbangan alternatif untuk penumpangnya.

“Semua pesawat sudah pun dihentikan operasinya dan perniagaan di UK juga dihentikan berkuat kuasa serta merta,” kata syarikat itu, yang mengelak jatuh muflis dalam Januari selepas diberikan cukai cuti oleh kerajaan.

Flybe merupakan operator terbesar penerbangan domestik UK dan membawa kira-kira lapan juta penumpang setiap tahun.

Namun ia gagal meraih keuntungan semenjak dibeli oleh konsortium Connect Airways tahun lalu, juga disebabkan permintaan lemah dan persaingan sengit.

Ini ditambah lagi dengan koronavirus COVID-19, dengan sebahagian besar syarikat penerbangan membatalkan penerbangan dan memberi amaran keuntungan akan terjejas akibat permintaan berkurangan.

Pengumuman dibuat beberapa jam selepas media Britain melaporkan syarikat penerbangan itu akan bankrap susulan kegagalannya untuk mendapatkan pinjaman negara bernilai 100 juta pound bagi membantu menstabilkan perniagaannya.

Impak virus COVID-19 ke atas perjalanan udara menjadikan ‘situasi teruk semakin teruk,’ sumber memberitahu BBC, manakala Bloomberg News melaporkan hari ini belum ada perjanjian dicapai bagi jaminan berkaitan virus. –AFP

Pesawat Flybe kelihatan di tarmak Lapangan Terbang Birmingham, 5 Mac. Syarikat penerbangan itu kini memasuki fasa pentadbiran sahaja, mengakibatkan penumpang terkandas dan memasuki fasa muflis sebahagian besarnya kerana koronavirus. –AP