Flydubai lancar penerbangan Dubai-Tel Aviv pertama

DUBAI, 26 NOV – Syarikat penerbangan tambang murah, flydubai hari ini melancarkan penerbangan langsung ke Tel Aviv, perkhidmatan komersial berjadual pertama di antara kedua-dua bandar, berikutan pemulihan hubungan di antara UAE dan Israel.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu akan hadir semasa ketibaan penerbangan sulung selepas perjalanan empat jam, kata jurucakapnya.

“PM Netanyahu akan menghadiri majlis menyambut penerbangan komersial flydubai yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ben-Gurion,” kata Ofir Gendelman di Twitter.

Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada September menandatangani perjanjian yang dibroker AS untuk memulihkan hubungan dengan Israel, perjanjian pertama sedemikian oleh negara Arab di Teluk.

Dengan ekonomi mereka terjejas teruk akibat pandemik koronavirus, UAE dan Israel berharap dapat menikmati dividen daripada perjanjian tersebut, termasuk kemasukan pelancong tatkala Dubai memasuki musim sejuknya.

“Permulaan penerbangan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan mewujudkan peluang seterusnya untuk pelaburan,” kata CEO flydubai Ghaith al-Ghaith apabila perkhidmatan diumumkan pada awal bulan ini.

Syarikat penerbangan Dubai akan menggunakan laluan itu dua kali sehari, dan syarikat penerbangan Israel El Al dan Israir dijangka melancarkan perkhidmatan komersial mereka di antara bandar itu pada bulan depan.

Etihad Airways, berpangkalan di ibu negara UAE Abu Dhabi, berkata ia akan memulakan penerbangan ke Tel Aviv pada Mac 2021. – AFP

Sebuah kapal terbang tambang murah flydubai mendarat di lapangan terbang Ben Gurion kelmarin dalam perkhidmatan komersial pertama di antara kedua-dua bandar, berikutan pemulihan hubungan di antara UAE dan Israel. – AFP