Flying Gravity juara Piala Pelajar, Veteran

Oleh Fadhil Yunus
Gambar oleh Infofoto

TUTONG, 23 JULAI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Piala Badminton CHSK 2021 Peringkat Akhir di Gelanggang Badminton CHSK di Kiudang, Tutong hari ini.

Beraksi pada kejohanan tersebut ialah Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah di bawah pasukan Flying Gravity (Waznah) dalam kategori beregu lelaki dan perempuan bawah 14 tahun.

Kejohanan yang berlang-sung selama empat minggu itu menampilkan tiga kategori iaitu Piala Pelajar, Piala Veteran dan Piala Organisasi.

Pasukan Flying Gravity (Waznah) muncul juara Piala Pelajar setelah berjaya mengalahkan CHMSKB 4-2 di final.

YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan pasangannya, Dessen Chung Min Tin berjaya merangkul gelaran setelah mengalahkan Anson Lee Sheng dan Bryan dalam straight set 21-13, 21-11.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah berkenan bergambar ramai selepas berakhirnya Kejohanan Piala Badminton CHSK 2021 peringkat akhir di Gelanggang Badminton CHSK, Kiudang, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah menerima pingat pada Kejohanan Piala Badminton CHSK 2021.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim menerima trofi di Kejohanan Piala Badminton CHSK 2021 kelmarin.
YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah semasa beraksi dalam perlawanan akhir kejohanan Piala Badminton CHSK 2021 kelmarin.

Manakala YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah dan pasangannya Amelda Pong Fui Tzen meraih tempat kedua dalam kejohanan tersebut.

Pasukan Flying Gravity beregu lelaki 19 tahun ke atas meraih kemenangan keseluruhan set setelah pasangan Darren Chai Chee Hou dan Masrur Fuad bin Haji Asmat menewaskan Awangku Adi Aiman bin Pengiran Haji Jofri dan Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri 21-7, 21-6 pada perlawanan kelima.

Flying Gravity (Waznah) menikmati rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dan separuh akhir. Sementara itu, Flying Gravity (Waznah) muncul pemenang kategori Piala Veteran setelah menang 4-0 ke atas Honey Car Smart.

Gandingan wanita terdiri daripada Catherine Chin dan Wiwi Rahman berjaya meraih kemenangan 21-8, 21-12 ke atas Nurliana binti Abdullah @ Lee Siaw Lin dan Faridah binti Haji Abdul Hadi. Dalam kategori Piala Organisasi, AIA BR-Kelvin Pong muncul juara setelah mengalahkan United Fighters 5-1 di final.

Pasangan Ali Darwin bin Haji Bahrun dan Haji Zainal Abidin bin Haji Abdul Ghani memenangi perlawanan 14-21, 21-18, 21-12 ke atas Muizzuddin @ Muhamad Azan bin Haji Othman dan Muhammad Azizan Firdaus bin Ali Mustapha. Pemenang pingat perak merangkumi United Fighters bagi Piala Organisasi, Honey Carsmart bagi Piala Veteran dan CHMSKB bagi Piala Pelajar.

Sementara pasukan yang memenangi tempat ketiga disandang oleh BSRC Shuttle Squad bagi Piala Organisasi, Seagulls Warriors dan Abdulle Al-Farietie bagi Piala Veteran dan Yuniku dan RHTS bagi Piala Pelajar.

Turut hadir pada majlis berkenaan sekali gus menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin. Kejohanan tersebut disokong oleh Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (PBKBD), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Badan Kemajuan Kreatif (BKK) Daerah Tutong.