FMB Butik dalam Alert List AMBD

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – FMB Butik telah disenaraikan dalam Alert List Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) bagi bulan Oktober 2019.

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini menjelaskan, Alert List merangkumi senarai individu, syarikat dan laman web yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan AMBD, atau mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecu-rigaan akan berlaku aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Senarai ini adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai aktiviti-aktiviti syarikat berkenaan.

Alert List AMBD ini telah pun dikemaskinikan dan boleh didapati melalui laman web di www.ambd.gov.bn. Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan AMBD juga boleh didapati di laman web yang sama.

Menurut kenyataan itu lagi, AMBD akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam. Ia juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti tidak berlesen, bolehlah menghubungi AMBD melalui talian 2380007 atau e-mel kepada fci@ambd.gov.bn.