JAKARTA, 10 JULAI – Penularan penyakit kaki dan mulut (FMD) telah menjejaskan penyembelihan binatang korban bagi menandakan Hari Raya Aidiladha ketika jutaan penduduk beragama Islam di seluruh Indonesia meraikan salah satu acara terbesar dalam kalendar Islam, hari ini.
Aidiladha, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Korban, merupakan hari yang dihormati dan bertepatan dengan ibadah terakhir dalam musim haji.
Ia adalah hari yang menggembirakan di mana umat Islam membeli dan mengorbankan binatang tertentu dan memberikan dua pertiga daripada daging korban tersebut dengan orang-orang miskin.
Tetapi tahun ini, penularan penyakit FMD – yang mudah berjangkit pada kuku haiwan dan kadangkala boleh berjangkit kepada manusia – telah menjejaskan penjualan kambing, kerbau, dan biri-biri di Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam paling ramai di dunia.
FMD sekali lagi menular di seluruh Indonesia, yang bebas daripada penularan selama 32 tahun.
Pihak kerajaan bergelut untuk menangani jumlah penularan yang semakin meningkat, dan telah menubuhkan pasukan petugas untuk menghapuskan hampir 3,000 ekor bintang yang dijangkiti.
Setakat hari ini, lebih 336,000 ekor binatang telah dijangkiti di 21 buah wilayah, kebanyakannya di Jawa dan Sumatera. Sekurang-kurangnya 2,000 ekor binatang mati akibat penyakit tersebut, menurut data rasmi yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas FMD Kebangsaan.
Meskipun FMD tidak dianggap sebagai ancaman kepada kesihatan manusia, namun ia boleh membawa maut kepada binatang dan penularan telah menyebabkan orang ramai tidak mahu mengadakan majlis korban. Kementerian Hal Ehwal Agama Indonesia telah memberitahu bahawa orang ramai tidak perlu memaksa untuk mengadakan korban semasa penularan. – AFP