Foden tebus kesilapan, julang England

LONDON, 19 OKT – Gareth Southgate memuji pemain-pemain muda England selepas Phil Foden dan Declan Rice menjaringkan gol antarabangsa pertama mereka ketika menewaskan Iceland 4-0.

Skuad kendalian Southgate sudah terlepas peluang mara ke pusingan akhir Liga Negara-Negara UEFA susulan kekalahan di tangan Belgium Ahad lalu.

Namun Southgate menegaskan keputusan perlawanan itu adalah penting dalam perancangannya untuk Kejuaraan Eropah tahun depan dan pemain-pemain mengambilnya dengan serius.

Rice menjaringkan gol di babak pertama aksi di Wembley itu dan menjadi pemain West Ham pertama menjaringkan gol untuk England dalam tempoh 10 tahun.

Pemain tengah Chelsea, Mason Mount melebarkan kedudukan sebelum Foden meledak dua kali selepas pertahanan Iceland Birkir Mar Saevarsson dibuang padang.

Ia adalah saat manis buat perancang Manchester City itu, yang dihantar pulang bersama pemain Manchester United, Mason Greenwood kerana melanggar protokol COVID-19 ketika bertandang ke Iceland September lalu.

Foden, 20, adalah pemain England paling muda menjaringkan lebih daripada satu gol dalam satu perlawanan di Wembley.

“Saya amat gembira untuknya. Dia pemain yang cukup menarik. Ia minggu penting buatnya.

“Bukan mudah untuk dia kembali selepas dihantar pulang sebegitu sebelumnya.

“Kami sedar kemampuannya. Mendapatkan dua gol hari ini adalah isyarat buat semua tentang apa yang mampu dilakukannya,” kata Southgate. – AFP

Aksi Foden semasa menentang pemain Iceland pada perlawanan di Stadium Wembley, London, kelmarin. – AP