Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fokus diet, elak ke bazar Ramadan

    BERBANDING tahun-tahun sebelumnya, Ramadan kali ini begitu mencabar buat penyampai radio Suriafm, DJ Lin yang kini turut terikat dengan tugas dan tanggungjawabnya sebagai Pengurus Program Radio.

    Kesibukannya dengan tugasan baharu itu telah membuatkan banyak rutin yang menjadi kebiasaannya pada bulan Ramadan terpaksa dikorbankan.

    “Tahun ini pertama kali saya menyambut Ramadan sebagai Pengurus Program di Suria dan semestinya tanggungjawab sudah bertambah terutamanya masa dan tumpuan saya yang banyak dihabiskan di pejabat.

    “Ramadan sebelum ini semuanya berlangsung dalam keadaan yang OK di mana saya hanya fokus pada satu benda tanpa perlu nak fikir banyak.

    “Setiap hari saya akan berada di pejabat bermula jam 10 pagi saya sudah berada di pejabat untuk memulakan rutin tugasan sebagai pengurus program Suria dan melunaskan tanggungjawab sebagai penyampai pada sebelah malam sehingga jam 1 pagi,” kata DJ Lin.

    DJ Lin mengambil peluang untuk meningkatkan dietnya semasa bulan Ramadan ini dan cuba untuk mengelak kerap mengunjungi bazar Ramadan.

    Menurut DJ Lin disebabkan kesibukan itu juga menyebabkan dia tidak dapat berbuka puasa dengan anak-anaknya kerana hampir setiap hari berbuka puasa di pejabat.

    “Anak sulung saya tinggal di asrama, jadi tidak ada masalah sangat. Cuma anak lelaki sayalah yang kasihan terpaksa berbuka puasa seorang diri di rumah.

    “Sebelum keluar bekerja saya akan tinggalkan duit untuknya membeli juadah berbuka di bazar Ramadan yang berdekatan dengan rumah.

    “Alhamdulillah, anak dah besar dan dia faham kesibukan saya. Malah dia juga sering meringankan kerja di rumah kerana tahu ibunya penat bekerja,” jelasnya.

    Dalam pada itu, kata DJ Lin, dia turut mengambil kesempatan untuk diet sempena bulan puasa ini.

    “Selalu saya kalau pergi bazar Ramadan, memang rambang mata. Macam-macam juadah nak beli selagi ada duit dalam beg. Bila dah beli kenalah makan, nanti membazir.

    “Jadi tahun ini saya cuba elakkan untuk pergi bazar Ramadan. Jadi bolehlah kawal makan sikit.

    “Bagaimanapun bila balik kampung, berbuka puasa dengan adik-beradik ramai-ramai, terus lupa diet,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda