Fokus lakonan pada tahun 2020

Sejak 2013 sering dikecam warganet, ia tidak melunturkan semangatnya. Sempena tahun baharu yang bakal menjelang tidak lama lagi, Nabila juga sudah mempunyai perancangan.

Nabila berkata, dia akan memberi fokus pada kerjaya lakonannya kerana mendapat tawaran berlakon drama baharu di TV3. “Nampaknya perjalanan kerjaya nyanyian dan lakonan saya bergerak seiring. Cuma, tahun depan saya nak tumpu pada lakonan. Alhamdulillah, selepas membintangi drama Pesan Dari Hati bersama Shukri Yahaya, saya mendapat maklum balas positif. Rata-rata penonton drama itu menerima baik lakonan saya untuk watak Zulaikha, seorang gadis kampung,” katanya.

Mengulas kerjaya nyanyiannya, Nabila yang muncul dengan lagu Vroom Vroom berkata, dia tidak mahu terburu-buru. “Untuk nyanyian, saya perlu bijak mendapatkan lagu baharu kepada pendengar muzik masa kini. Memandangkan saya cerewet, saya sangat menitikberatkan karya lagu yang bagus untuk dirakamkan. Ini kerana saya mahu lagu dirakamkan itu akan memberi impak kepada penonton untuk didengar selalu,” katanya.

Setakat ini, Nabila sudah menghasilkan tiga lagu yang membantu melonjakkan nama-nya iaitu Cemburu, Pematah Hati dan Vroom Vroom. Bercerita lanjut mengenai kerjayanya sebagai pelakon, Nabila berkata, dia seronok kerana dapat menerokai tuntutan watak.

“Berlakon dan menyanyi adalah dua cabang seni berbeza yang memiliki daya tarikan sangat menarik. Saya kini sangat meminati nyanyian dan lakonan kerana pengalaman serta kepuasan berbeza,” katanya. – Agensi

Setakat ini, Nabila sudah menghasilkan tiga lagu yang membantu melonjakkan namanya iaitu Cemburu, Pematah Hati dan Vroom Vroom. – Agensi