Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fokus penjagaan kesihatan, salur dana

    KUALA LUMPUR, 25 OKT – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan penyaluran dana kecemasan dan semua bantuan yang amat diperlukan ke Sabah dalam memerangi wabak COVID-19 dan bukannya mengisytiharkan darurat.

    Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini, sebaliknya bantuan kewangan segera dari kerajaan Persekutuan diperlukan untuk mengekang penularan COVID-19 di Sabah, jika tidak mungkin berlaku keruntuhan menyeluruh terhadap sistem penjagaan kesihatan.

    “Kini, masanya untuk penyelesaian bersama situasi wabak COVID-19 secara saintifik dan praktikal di negara ini dan bukannya masa untuk pertelingkahan politik yang tidak dapat memulihkan keadaan dengan apa cara sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, setiap minit kelewatan dalam menghantar misi bantuan ke Sabah, akan menjejaskan usaha negara menangani bencana nasional yang mungkin akan menjadi antara episod hitam yang terburuk dalam sejarah negara ini.

    “Penularan jangkitan COVID-19 secara meluas dalam komuniti mungkin meningkat dengan cepat di seluruh negara. Bilangan kes harian yang dilaporkan mungkin jauh lebih sedikit berbanding jumlah sebenar berikutan kelewatan dalam melaporkan hasil ujian, pengesanan kontak dan pengasingan individu yang dijangkiti,” katanya.

    Dr Subramaniam berkata, katil di kebanyakan hospital di Sabah juga telah penuh dan di beberapa kawasan, kes COVID-19 yang kurang teruk perlu diasingkan dan rawatan di rumah dilakukan.

    “Oleh, itu dikhuatiri bahawa kes-kes COVID-19 yang lebih serius mungkin meningkat lebih banyak berikutan kadar jangkitan dan kematian di Sabah jauh lebih tinggi berbanding angka di peringkat nasional, sekali gus menjadikan ia antara negeri tertinggi kes di negara ini.

    Subramaniam berkata petugas barisan hadapan juga dilaporkan hampir putus asa berikutan kepenatan, tekanan mental dan kekurangan tenaga kerja yang serius.

    Oleh itu katanya, lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan amat diperlukan dan kerajaan diminta untuk mempertimbangkan bagi mendapatkan lebih banyak bantuan kemudahan kesihatan awam dari negeri-negeri yang kurang kes jangkitan COVID-19 untuk ditugaskan ke Sabah ketika ini.

    Dorongan daripada kerajaan juga amat diperlukan dalam isu menangani kemampuan melakukan ujian saringan, termasuk dengan melibatkan sektor swasta dan sumber lain dalam negara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda