Fokus tingkat kemampanan makanan

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 3 JULAI – Kerajaan akan terus menumpukan pelbagai langkah bagi meningkatkan kemampanan makanan bagi memastikan rakyat di negara ini sentiasa mendapat bekalan yang mencukupi dengan memastikan sumber pengepaman air yang betul bagi kawasan ladang padi dan sekitarnya serta mendapatkan sumber pengairan air secukupnya.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Lot Sengkuang, Mukim Labi, kelmarin.

Di bawah cadangan Yong Khian Fook, seluas 20 hektar yang diperuntukkan untuk membantu memastikan inisiatif tersebut berjaya membuahkan hasil, di mana usaha yang dilakukan mereka ini menunjukkan permulaan kegiatan penanaman padi di negara ini menunjukkan peningkatan yang baik, jelas Yang Berhormat Dato.

“Kami menghargai usaha yang dilakukan oleh inisiatif yang diketuai oleh Yong Khian Fook yang tidak hanya membantu memenuhi permintaan penduduk, tetapi juga kawasan perkebunan di sekitarnya.”

Ditanya mengenai apakah manfaat yang boleh diperolehi oleh penduduk Mukim Labi dengan perkembangan yang dicapai ini, jelasnya, kejayaan yang dilakukan dalam projek sistem pengairan yang merangkumi cadangan pembangunan bendungan kecil ke saluran pengairan ini turut memberi manfaat yang sama di kawasan sekitarnya terutama sekali ketika musim kemarau.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan semasa lawatan kerja di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Lot Sengkuang, Mukim Labi. baru-baru ini.
Yong Khian Fook semasa ditemu bual oleh wartawan kelmarin.

“Dengan adanya sistem pengairan, air dapat disalurkan ke tempat penanaman yang memerlukannya, di mana kerajaan juga telah mencadangkan pembinaan empangan kecil yang dapat mengumpul dan menyimpan lebihan air sebagai persiapan untuk musim kemarau,” tambahnya.

Yang Berhormat Dato juga berharap dengan usaha dan inisiatif yang dilakukan di KKP Lot Sengkuang ini akan dapat membantu mengembangkan lagi ladang di kawasan sekitarnya untuk memulakan semula kegiatannya selepas keadaan kawasan tersebut terjejas teruk akibat musim kemarau.

Sementara itu, Yong Khian Fook, penduduk yang tinggal di Mukim Labi yang mencadangkan inisiatif itu turut mengongsikan pengalamannya melaksanakan inisiatif itu kepada media.

“Sejak April tahun lalu, kami mulai membawa mesin yang diperlukan untuk membersihkan dan mengusahakan tanah sebagai persiapan untuk penanaman padi hari ini,” katanya

Penanaman semula ini, menurutnya, menelan belanja kira-kira $35,000 per hektar, yang kini masih lagi dilakukan secara berterusan.

“Mudah-mudahan, pada musim berikutnya, kami akan terus berusaha memperluas, membersihkan dan mengusahakan tanah, untuk memanfaatkan sepenuhnya ladang yang telah diperuntukkan untuk kami usahakan.”