WASHINGTON, 6 FEB – Pengeluar kereta Ford akan mengurangkan pengeluaran kenderaannya di Amerika Utara pada minggu depan disebabkan masalah kekurangan semikonduktor, lapor media Amerika Syarikat semalam.
Ford merancang menggantung pengeluaran kenderaan termasuk Ford Bronco, pikap popular F-150 dan ken-deraan elektrik baharu Mustang Mach-E di kilangnya di Michigan, Illinois dan Mexico, menurut saluran media termasuk CNBC.
Pengeluaran juga akan dikurangkan di kilang lain di Missouri, Michigan dan Kentucky, sementara kerja lebih masa akan dihapuskan di kilang Ford di Oakville, operasi Ontario di Kanada.
Syarikat masih belum memberikan jawapan kepada pertanyaan oleh AFP.
Kekurangan semikonduktor – komponen asas dalam kenderaan baharu, dan dihasilkan terutamanya di Asia – telah menjejas pengeluaran kereta sejak awal pandemik koronavirus, menyebabkan harga naik dan menyumbang kepada peningkatan inflasi AS.
Presiden Joe Biden, berminat merangsang pengeluaran kereta AS, mahu mengembalikan pengeluaran cip semikonduktor ke AS dan telah mengadakan beberapa acara untuk mempromosi pelaburan domestik.
Ford kembali mencatat keuntungan pada 2021, dan melaporkan keuntungan bersih berjumlah AS$17.9 bilion baru-baru ini. Namun pengeluar itu masih dibelenggu masalah rantaian bekalan, dan pada Jumaat, saham Ford merosot 9.7 peratus di Wall Street. – AP