NEW DELHI, 19 Sept – Ford Motor dan Kumpulan Mahindra di India telah mengumumkan mereka akan bekerjasama dalam perkongsian baru tatkala syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS) dijangka menambah kehadirannya di salah satu pasaran kereta yang berkembang paling pesat di dunia.
Kedua-dua mereka, yang berpisah daripada satu gabungan pada 2005, akan bekerjasama selama tiga tahun dalam beberapa bidang termasuk kenderaan elektrik.
“Ford komited kepada India,” kata Jim Farley, naib presiden eksekutif dan presiden Pasaran Global dalam satu kenyataan.
“Gabungan ini akan membenarkan kami bekerjasama untuk mengambil kesempatan ke atas perubahan yang berlaku dalam industri kereta.”
Kebanyakan pengeluar kereta asing bergelut dalam pasaran India dan Ford mempunyai saham pasaran kurang daripada tiga peratus.
Pasaran kereta elektrik dijangka meledak tatkala kerajaan di seluruh dunia, termasuk India dan pasaran terbesar dunia China berkata mereka berhasrat beralih daripada kereta yang menggunakan fosil dalam tempoh beberapa dekad akan datang.
Mahindra adalah satu-satunya pengeluar kereta India yang mengeluarkan kereta elektrik, dan pada sebahagian kecil daripada kos jenama global seperti Tesla dan satu perjanjian akan memberikan Ford kemudahan menggunakan teknologi murah. Sebaliknya, Mahindra akan diberikan kemudahan menggunakan reka bentuk dan pasaran baru.
Abdul Majeed, rakan di firma pakar runding PwC, berkata lebih banyak pengeluar kereta akan berusaha mendapatkan gabungan strategik pada masa depan tatkala industri melihat peralihan besar ke arah pengangkutan lebih hijau dan penggunaan teknologi maklumat yang lebih.
“Gabungan adalah penting untuk bertahan. Tidak ada sesiapa yang boleh menyelesaikan isu berkenaan dengan sendirinya,” beritahu Majeed kepada AFP.
“Terdapatnya peralihan asas yang berlaku dalam sektor dan anda menerima persaingan daripada syarikat baru, maka anda perlu menyesuaikan diri untuk bertahan.” – AFP