Ford umum kerjasama tingkatkan bekalan

NEW YORK, 19 NOV – Ford semalam mengumumkan ‘kerjasama strategik’ bersama syarikat pengeluar cip, GlobalFoundries bagi meningkatkan bekalan semikonduktor ketika syarikat pembuat kenderaan itu bergelut dengan kekurangan komponen global.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan bersama, kedua-dua syarikat hanya mendedahkan beberapa butiran, namun berkata ia bertujuan untuk merangsang pengeluaran cip dan pembangunan teknologi di Amerika Syarikat (AS) serta meningkatkan bekalan Ford.

Kedua-dua buah syarikat juga akan ‘meneroka peluang pengeluaran semikonduktor yang diperluaskan bagi menyokong industri automotif,” menurut pengumuman.

“Ia sangat penting bagi kami untuk mencipta kaedah baharu bekerjasama dengan pembekal untuk memberikan Ford – dan AS – kebebasan yang lebih dalam pembangunan teknologi dan ciri-ciri yang pelanggan kami inginkan pada masa hadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ford, Jim Farley dalam kenyataan.

“Perjanjian ini hanya satu permulaan dan bahagian penting dalam pelan kami adalah untuk menyepadukan teknologi utama dan keupayaan yang akan membezakan Ford pada masa hadapan.”

Sama seperti syarikat kereta lain, Ford terpaksa mengurangkan pengeluaran di beberapa buah kilangnya tahun ini disebabkan kekurangan bekalan semikonduktor di seluruh dunia, yang memberi kesan kepada pengeluaran dalam sektor lain. – AFP