LONDON, 11 JULAI – Pasukan Liga Perdana yang baharu dipromosikan, Nottingham Forest, telah melengkapkan pembelian kelima sejak mendapat tempat mereka semula di kalangan pasukan bola sepak elit. Kelab tersebut bersetuju dengan bayaran sebanyak AS$12 juta yang dilaporkan dengan Bayern Munich untuk mendapatkan Omar Richards.
Pemain pertahanan Inggeris berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak empat tahun bersama Forest bagi menamatkan tempoh setahunnya di Jerman. Dia sebelum ini me-nyertai Bayern dari Reading divisyen kedua dan membuat sebanyak 17 penampilan serta membantu mereka merangkul gelaran Bundesliga ke-32.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke England dan menyertai Nottingham Forest pada saat yang begitu menarik,” kata Richards, yang pernah membuat penampilan bagi pasukan antarabangsa England pada peringkat Bawah 21 tahun.
“Kelab tersebut telah melalui musim yang sangat luar biasa beberapa bulan lalu dan kini mereka menyasarkan kejayaan yang besar selepas berjaya kembali ke Liga Perdana.
“Saya pernah bermain menentang Forest sebelum ini dan mendapat sokongan hebat daripada peminat mereka.
“Manakala City Ground ialah tempat yang menakjubkan yang kini boleh saya panggil sebagai rumah.”
Richards menyertai Dean Henderson, Moussa Niakhate, Giuilian Biancone dan Taiwo Awoniyi sebagai pemain baharu sejak Forest mendapat promosi ke Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 23 tahun selepas menewaskan Huddersfield dalam pusingan play-off Kejuaraan.
Awonyi menelan yuran rekod kelab Nottingham sekitar £17 juta dari kelab Bundesliga Union Berlin walaupun Forest bersedia untuk menyamainya kerana mereka juga telah bersetuju dengan perjanjian £17 juta dengan Liverpool bagi mendapatkan pemain pertahanan Wales, Neco Williams. – AFP