Formula E: Audi gandakan podium

MARRAKESH, 14 Jan –Berikutan permulaan musim yang sukar di Arab Saudi pada Disember, kereta lumba Formula E Audi e-tron FE05 yang baharu bersama unit penjana motor (MGU) yang dibangunkan oleh Audi dan rakan teknologi, Schaeffler, telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam perlumbaan yang berlangsung di Maghribi, baru-baru ini.

“Kami kembali menyaksikan perlumbaan Formula E yang memberi keterujaan dengan keputusan yang baik buat Audi,” kata Ketua Sukan Motor Audi, Dieter Gass.

“Dua orang pelanggan kami daripada Pasukan Envision Virgin Racing iaitu Robin Frijns dan Sam Bird berakhir di tangga kedua dan ketiga. Manakala, pemandu kami, Lucas di Grassi dan Daniel Abt berdepan kesukaran setelah menghasilkan permulaan yang baik dan kami perlu mencari puncanya,” ujarnya.

Susulan kelayakan yang kurang sempurna, Di Grassi dan Abt telah menghasilkan permulaan yang baik, di mana Di Grassi berada di kedudukan kelima pada pusingan pertama manakala Abt di tempat ketujuh. Namun, kedua-dua pemandu daripada Pasukan Audi Sport Abt Schaeffler itu kemudiannya berakhir di tempat ketujuh dan ke-10 selepas melakukan beberapa pusingan.

“Ia adalah perlumbaan yang hebat. Selepas bangkit, saya hampir mendahului perlumbaan, namun kereta keselamatan menjejaskan strategi kami. Menduduki tempat ketujuh dan perlumbaan terpantas – kami kembali menyertai permainan,” kata Di Grassi.

Walau bagaimanapun, Daniel Abt pula mengatakan permulaannya adalah sangat bagus, namun selepas mengaktifkan mod ‘serangan’ buat kali pertama, berlaku sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan secara tiba-tiba dan mereka perlu mencari puncanya.

Manakala itu, menurut Pengetua Pasukan Audi Sport ABT Schaeffler, Allan McNish berkata, “Di Grassi berjuang bagi memburu podium pada hampir keseluruhan perlumbaan. Baginya, kemunculan kereta keselamatan berlaku pada saat yang tidak tepat, perkara yang sama juga dihadapi oleh Abt sekalipun bermula dengan begitu baik sekali.

“Apa yang jelas bagi kami ialah Audi e-tron FE05 memiliki keupayaan. Kami gembira menyaksikan kedua-dua kereta Audi berakhir di atas podium di sini dan kami akan memastikan yang terbaik untuk pasukan kami di Santiago.”

Pusingan ketiga siri perlumbaan elektrik akan diadakan di Santiago de Chile pada 26 Januari depan.

Dua buah kereta lumba Formula E Audi e-tron FE05 (depan) menyertai perlumbaan yang diadakan di Maghribi, baru-baru ini.