Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Forum bahas konsep veganisme

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Lebih 50 orang telah mengikuti Forum Kehidupan Sebagai Vegan yang dianjurkan oleh Green Brunei secara maya, kelmarin.

    Forum tersebut telah menjemput tiga orang pembentang iaitu Dayang Nur Adriana Fathiah binti Mohd Al-Fatah, Siddharthan Pari dan Dayang Siti Zubaidah binti Haji Nor Hisham yang mempunyai latar belakang berlainan untuk berbincang dan mengungkapkan pandangan mereka mengenai veganisme di Negara Brunei Darussalam.

    Forum dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Pengasas Bersama Green Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Asha’ari selaku tetamu kehormat.

    Dalam ucapan alu-aluannya, beliau turut bersetuju bahawa kehidupan secara vegan adalah sesuatu cara hidup atau konsep yang baharu terutamanya di Negara Brunei Darussalam.

    “Seperti yang diketahui secara umum, kebanyakan penduduk Brunei Darussalam terdiri daripada bukan vegan, yang mana pemakanan mereka kebanyakannya mengandungi produk-produk haiwan yang tinggi dengan kolesterol.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa bersama peserta semasa mengikuti forum yang dianjurkan Green Brunei secara maya, baru-baru ini. – Gambar serahan Green Brunei

    “Pengambilan makanan yang penuh dengan kolesterol tinggi adalah salah satu faktor penyebab masalah kesihatan di negara ini seperti obesiti dan penyakit jantung.

    “Dengan berpandukan hidup secara vegan ia boleh mengurangkan dan mengelakkan penyakit tersebut,” jelas Yang Berhormat Dayang Khairunnisa.

    Tambahan lagi, ujar beliau, hidup secara vegan telah membuktikan bahawa ia dapat membuatkan seseorang sihat dan memberikan impak yang positif kepada alam sekitar.

    Forum digital berkenaan telah membahaskan tiga aspek utama mengenai veganisme iaitu, impaknya terhadap alam sekitar dan kesihatan serta bagaimana hidup secara vegan di negara seperti Brunei Darussalam.

    Peranan utama forum tersebut adalah untuk memper-tingkatkan lagi kefahaman dan bertukar ilmu mengenai veganisme dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, ia juga membolehkan para peserta memahami dengan lebih baik sebab mereka memulai hidup sebagai vegan dan memberikan beberapa pandangan hidup sebagai vegan di Brunei.

    Para pembentang juga dapat mengongsikan petua-petua tentang mengamalkan gaya hidup vegan terutamanya bagi mereka yang berminat dan ingin bermula.

    Green Brunei berharap individu-individu yang mengikuti forum berkenaan memperoleh ilmu baharu dan kefahaman tentang cara hidup sebagai vegan, selain itu dapat mewujudkan komuniti kolektif yang dapat diperoleh daripada forum secara talian itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...