Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 OGOS – Bank Baiduri telah berjaya menganjurkan Forum Tahunan Kesejahteraan di Tempat Kerja 2024 di Baiduri Community Space, bank berkenaan, kelmarin.
Forum tahun ini bertema Kesejahteraan Bermula Dengan Anda itu adalah sejajar dengan matlamat wawasan 2035 untuk meningkatkan kualiti hidup, yang mana ianya menawarkan platform untuk perkongsian pengetahuan dan sokongan rakan sebaya.
Di samping itu, ianya bertujuan untuk memberi inspirasi kepada pekerja Bank dan masyarakat untuk meneroka dan menemui sumber kesihatan yang pelbagai.
Di majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui menyampaikan sijil kepada 27 kakitangan dari pelbagai bahagian dan cawangan bank yang mengikuti kursus Psychological First Aid (PFA).
PFA dilatih untuk memberikan sokongan segera untuk kesihatan mental di tempat kerja masing-masing, di samping memupuk rangkaian sokongan untuk semua pekerja.
Visi bank tersebut adalah untuk membina ekosistem PFA yang teguh untuk menggalakkan kesejahteraan pekerja yang mampan.
Sejak Inisiatif Kesejahteraan Pekerja (EWI) diperkenalkan pada 2020, Bank Baiduri secara konsisten meningkatkan skor kesejahteraan pekerjanya setiap tahun, dan tinjauan pada tahun 2024 yang terbaru telah menunjukkan pencapaian yang ketara, dengan EWI mencapai 73 peratus.
Skor tersebut melebihi purata serantau di Asia Pasifik (69 peratus) dan purata global (72 peratus), menunjukkan dedikasi Bank Baiduri untuk memupuk persekitaran kerja yang menyokong.
Forum tersebut menampilkan perbincangan panel mengenai tema Living Our Life With Focus yang mana ahli-ahli panel terdiri daripada Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan di Bank Baiduri, Veronica Chong; Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan dari Kementerian Kesihatan; dan pakar kecergasan dari Jab Gym, Jonathan Ooi.
Ahli-ahli panel telah berkongsi pandangan dan teknik tentang cara untuk fokus dengan lebih baik dan berkembang maju dalam pelbagai peranan yang kita pegang dalam dunia yang serba pantas hari ini.
Acara itu turut dimeriahkan dengan pemeriksaan kesihatan percuma, Indeks Jisim Badan (BMI) dan pemeriksaan tekanan darah oleh Pusat Promosi Kesihatan (HPC) di Kementerian Kesihatan, pemeriksaan kanser kepala dan leher oleh PJSC, analisis postur oleh Traphy Brunei, dan kawasan Zen Space dengan kerjasama Boeffi dan Beanbags Brunei.
Forum diakhiri dengan pelbagai aktiviti kesihatan dan kecergasan yang diadakan di Baiduri South Lawn di Ibu Pejabat Bank Baiduri, bagi mengukuhkan mesej bahawa kesejahteraan benar-benar bermula dengan individu sendiri.