Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, mengakhiri forum maya yang membincangkan industri hartanah dan pembinaan Brunei sebagai kesinambungan Siri SME360 BIBD 10 bahagian.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, acara dua hari bermula kelmarin itu menyaksikan perbincangan mengenai cabaran-cabaran pasaran yang dihadapi oleh para pemain industri pada permulaan wabak COVID-19 dan semasa Fasa Peralihan.
Sesi pertama pada hari pertama menampilkan Ketua Korporat Digital dan Pembangunan Perniagaan dari Kumpulan Perbankan Korporat BIBD, Haji Shamri bin Haji Mahali; Eksekutif Pentadbiran di Decals Contractor, Angelina Kong; dan ahli akademik di Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Hajah Siti Hairaney binti Haji Awang Shahri yang juga ahli Institut Geomatik Brunei (Hartanah) dan penilai berdaftar di Lembaga Penilai dan Ejen Hartanah Brunei Darussalam.
Ahli-ahli panel bersetuju bahawa sebalik pandemik, pasaran hartanah tempatan membawa petanda baik kepada pemilik-pemilik rumah dan kerana orang ramai tidak membelanjakan wang mereka ke atas pelancongan dengan penutupan sempadan, ini adalah masa yang sesuai untuk mempertimbangkan melabur ke dalam pemilikan rumah.
Sesi seterusnya bertajuk ‘Masa Depan Pasaran Hartanah Brunei’ pula disertai oleh Konsultan Utama di M.D Associates, Haji Mohd Don Omar; Principal dan Pengarah Urusan di Gemilang Latif Associates, Ar Mahri Latif dan Ejen Estet Berdaftar dan Rakan Niaga Urusan Alphamas Real Estate Agency, Jason Foo.
Ahli-ahli panel meluahkan rasa optimisme mereka bahawa dalam masa terdekat, dengan pertambahan populasi Brunei, harga-harga hartanah akan menjadi lebih kompetitif dan berpatutan dengan rekaan-rekaan lebih baik ditawarkan kepada bakal pembeli.
Manakala itu, hari ini, topik pertama forum adalah ‘Cabaran-cabaran dan Peluang Industri Pembinaan Brunei’, yang disertai oleh Presiden Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), Sr Haji Hanafi POKDG bin Haji Abdul Rahman; Pengurus Besar NS BlueScope Lysaght Brunei, Judith Fong dan Presiden Persatuan Pembinaan, Yong Teck Foo.
Mereka berkongsi bahawa penangguhan-penangguhan projek disebabkan isu tenaga kerja akibat sekatan-sekatan dan kekurangan pekerja adalah lazim dan terus menjadi cabaran dalam pandemik semasa, terutamanya dengan industri pembinaan terus bergantung pada pekerja asing.
Bagaimanapun, mereka juga menyatakan bahawa sebalik cabaran-cabaran itu, pelbagai peluang telah dijana termasuk peluang bagi pekerja tempatan untuk bangkit dan menambah kemahiran mereka.
Sesi kedua bertajuk ‘Pemudahan Pengurusan: Langkah-langkah Kritikal Pengoptimuman dan Peluang-peluang’, pula mengetengahkan Timbalan Pengarah dan Ketua Perkhidmatan Pengurusan Projek dan Program di Utamacon Sdn Bhd, Sr Mohamed Humdhan; Pengurus Kemudahan Borneo United, Haji Zalidi bin Haji Abdul Latif; dan Ketua Pegawai Eksekutif Armada Properties Sdn Bhd, Desmond Lim.
Sesi terakhir memfokuskan terhadap ‘Impak dan Kemapanan’ dan disertai oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Pengarah dan Arkitek Utama Eco Bumi, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dan Pengurus Besar BUE Enterprise, Chris Yong.
Kenyataan menyatakan, semua topik yang dibincangkan adalah selaras de-ngan usaha-usaha BIBD untukk membantu perusahaan kecil dan sederhana pulih secara mapan susulan penularan COVID-19 di negara ini.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai Siri SME360 seterusnya yang akan diadakan pada 22 dan 23 Mac depan yang mana forum akan merangkumi industri hospitaliti, acara dan pelancongan.