Forum fokus hidupkan kembali aktiviti pelancongan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam dalam Forum Pelancongan Global pada Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin Asia yang diadakan secara maya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, hari ini, menyatakan forum tersebut turut disertai oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Kemajuan Pelancongan.

Forum yang merupakan kolaborasi di antara Indonesia Tourism Forum (ITF) dan World Tourism Forum Institute (WTF) di adakan secara hibrid pada kelmarin hingga hari ini di Jakarta, Indonesia.

Forum berkenaan menyaksikan ucapan pembukaan rasmi disampaikan oleh Naib Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Profesor Ma’ruf Amin. Forum berkenaan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Indonesia di mana ia disertai oleh menteri-menteri pelancongan dari ASEAN, wakil-wakil daripada Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO), pemimpin unggul dan pakar antarabangsa, ahli strategi dan teknologi dalam industri pengembaraan, agensi-agensi pelancongan serta operator pelancongan, perniagaan, kumpulan pelaburan dan bank, syarikat konsultasi pelancongan, ahli-ahli politik, eksekutif kanan serta autoriti awam khususnya daripada ASEAN dan Asia.

Forum itu membincangkan masa hadapan industri pelancongan, dasar-dasar pelancongan yang telah diletakkan oleh pelbagai kerajaan untuk menghidupkan kembali dan menyegarkan aktiviti-aktiviti pelancongan serta melihat kepada peluang-peluang bagi pelaburan dan kerjasama dalam ASEAN dan Asia.

Perbincangan juga diadakan bagi isu-isu lain di antaranya pencapaian pelancongan di tengah-tengah pandemik, impak dasar kepada masa hadapan pelancongan, impak media kepada pemulihan pelancongan, nilai ekopelancongan dalam COVID-19, transformasi industri pelancongan di bawah kepimpinan wanita dan impak pelancongan mampan baharu dalam pasca pandemik.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menyertai forum tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan