Forum Kerjasama Pengangkutan ASEAN, republik Korea ke-11

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof, hari ini, telah menghadiri Forum Kerjasama Pengangkutan ASEAN dan Republik Korea ke-11 melalui sidang video.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan, forum kerjasama berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan, Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT), Republik Korea (ROK), Tuan Yang Terutama Noh Hyeong Ouk.

Persidangan ini turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar, pegawai-pegawai kanan MTIC dan juga Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).

Dalam ucapan pembukaannya, Tuan Yang Terutama menekankan keperluan untuk meluaskan dan memantapkan kerjasama pengangkutan di antara ASEAN dan Republik Korea dalam mencapai pengangkutan yang berdaya tahan melalui mempertingkatkan sistem pengangkutan digital.

Semasa forum berkenaan, ucapan khas bertajuk Enhancing the ROK-ASEAN Cooperation in the Era of the Pandemic and the 4th Industry Revolution telah disampaikan oleh Presiden Korea Transport Institute (KOTI), Oh Jaehak.

Forum Kerjasama Pengangkutan ASEAN dan Republik Korea ke-11 yang berlangsung melalui sidang video, baru-baru ini. – Gambar serahan MTIC

Dalam ucapannya, Oh Jaehak menyampaikan keperluan pergerakan (mobility) yang berinovasi dan transformasi dalam Revolusi Industri ke-4 dan pandemik COVID-19 yang akan memberikan hala tuju dasar pengangkutan serta kerjasama pengangkutan di antara ASEAN dan ROK.

Forum juga membincangkan dasar pengangkutan yang mampan menangani pandemik COVID-19, khususnya mengenai Digital New Deal and Logistics Policy di ROK, serta status perlaksanaan bagi projek-projek di bawah rangka kerja ASEAN-ROK Transport Cooperation Roadmap 2021–2025.

Negara-negara ahli ASEAN, termasuk Negara Brunei Darussalam, juga menyampaikan dasar pengangkutan masing-masing berasaskan kepada tema forum tahun ini iaitu Future Directions for ASEAN Sustainable Transport Policies: Coping with Global Challenges Including COVID-19.

Forum Kerjasama Pengangkutan ASEAN dan Republik Korea adalah satu platform tahunan yang diterajui oleh MOLIT, Republik Korea bagi membincangkan hal semasa di sektor pengangkutan dan inisiatif-inisiatif pengangkutan di bawah rangka kerja ASEAN-ROK Transport Cooperation Roadmap.