Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Forum perkasa golongan autisme

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Dengan hasrat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap insan-insan istimewa di negara ini, SMARTER Brunei telah menganjurkan Forum Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2022 menerusi platform Zoom Meeting, petang tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan forum berjudul ‘Memperkasa Keterangkuman dalam Fasa Endemik’ itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato antaranya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada SMARTER Brunei atas kegigihan segala usaha yang luar biasa dalam memperkasa golongan autisme di negara ini agar sentiasa dekat di hati masyarakat secara menyeluruh lebih-lebih lagi setelah berdepan dengan cabaran krisis kesihatan termasuklah aspek pengambilan suntikan vaksin.

    Jelas beliau lagi, dalam sama-sama meniti fasa pemulihan negara ini, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk sentiasa memastikan bahawa tiada seorang pun yang akan tertinggal termasuklah golongan-golongan istimewa.

    Sesi forum dengan lebih 100 penyertaan itu telah berjaya menyaksikan pelbagai pandangan dan perkongsian peribadi terdiri daripada lima orang ahli panel iaitu Pemangku Ketua Bahagian Orang Kelainan Upaya (OKU), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayangku Dewi Kartika Putri binti Pengiran Shahminan; Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Awang Norali bin Ali Yusop; Perunding Pediatrik, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Mawarni binti Haji Abdul Hamid serta dua orang ibu kepada anak-anak istimewa, Malai Ayla Surya binti Malai Haji Abdullah dan Dayang Norhaslinda binti Ibrahim.

    Manakala itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden I, SMARTER Brunei, Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah selaku moderator forum.

    Dengan forum yang turut disokong oleh KKBS, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan itu, ia dihasratkan dapat membuka minda dan jiwa masyarakat secara menyeluruh tentang autisme ke arah usaha memberikan sokongan dan pertolongan kepada golongan yang menghidapi autisme yang sangat memerlukan kasih sayang dan pemedulian bukan sahaja daripada ibu bapa mereka dan badan-badan tertentu tetapi juga daripada semua pihak supaya mereka tidak akan merasa tersisih atau disisihkan.

    Turut hadir menyaksikan forum dalam talian bersempena memperingati Sambutan Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang diraikan pada setiap 2 April lalu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari; Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang; pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi negara luar ke Negara Brunei Darussalam, guru-guru, ibu bapa dan penjaga, pakar-pakar terapi, ahli-ahli SMARTER Brunei serta orang awam.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menyampaikan ucapan perasmian bagi Forum Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2022 menerusi platform Zoom Meeting, baru-baru ini.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...