Forum perkukuh hubungan Brunei-China

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China telah menubuhkan hubungan kerjasama yang erat selama 30 tahun di mana China terus menjadi salah satu rakan perdagangan dan pelabur terbesar bagi Brunei yang menyumbang kepada usaha kepelbagaian dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pada 2020, China merangkumi kira-kira 18 peratus daripada perdagangan keseluruhan Negara Brunei Darussalam, kata Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin ketika berucap pada Forum mengenai Review and Prospect of Building China-Brunei Strategic Cooperative Partnership – From Perspective of Education and Industry yang berlangsung secara maya, baru-baru ini.

Turut hadir selaku tetamu-tetamu kehormat pada forum berkenaan ialah Vice-Chairman of the CPPCC of Guangxi Zhuang Autonomous Region dan Secretary of the Party Committee of Guangxi University, Tuan Yang Terutama Wang Naixue dan Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yu Hong, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Brunei (UTB), di sini.

Dalam ucapannya lagi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf berkata bahawa kerjasama dalam industri hiliran, pertanian dan sektor kewangan juga telah menunjukkan pencapaian yang positif.

Manakala itu, dalam bidang pendidikan, tambahnya, beberapa memorandum telah dimeterai dan beberapa kajian bersama telah dikendalikan. Beliau juga telah mengetengahkan perkembangan positif yang dicapai menerusi latihan bersama dalam industri kimia serta menyatakan harapan Brunei untuk mengadakan lebih banyak pertukaran dan kerjasama dalam pelbagai bidang dilaksanakan bersama China.

Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan ucapan pada forum yang berlangsung secara maya baru-baru ini. – Gambar serahan UTB

Sementara itu, PYT Yu Hong dalam ucapannya, mengetengahkan bahawa 2021 menandakan 100 tahun penubuhan Communist Party of China, ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik Brunei-China ke-30 dan Ulang Tahun Hubungan Dialog ASEAN-China ke-30 yang mempunyai makna signifikan dan istimewa bagi Brunei dan China.

Beliau menambah sepanjang 30 tahun itu, kita berpegang kepada prinsip-prinsip kesaksamaan kedaulatan, saling hormat-menghormati dan tiada campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing.

Di samping itu, beliau menyatakan bahawa kedua-dua buah negara terus menyaksikan pertukaran lawatan peringkat tinggi yang kerap dan kepercayaan politik bersama yang terus didalami.

TYT Wang Naixue dalam ucapannya pula menyatakan bahawa sebagai hab antarabangsa yang menghubungkan ASEAN, Guangxi memainkan peranan yang penting dan unik dalam mempromosikan kerjasama Brunei-China.

Beliau berkata penandatanganan Memorandum Persefahaman bagi Koridor Ekonomi Guangxi-China telah membawa kerjasama yang komprehensif dalam bidang pertanian, industri, logistik, pemprosesan makanan halal dan pelancongan di mana setelah bertahun-tahun dibangunkan, koridor berkenaan telah menjadi sebuah projek utama di antara kedua-dua buah negara.

Forum yang dianjurkan bersama oleh China-ASEAN Research Institute of Guangxi University dan Pejabat Perancangan dan Perkembangan, UTB diadakan bersempena dengan ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China ke-30.

Dalam tempoh 30 tahun, hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara telah berkembang dengan pesat di bawah bimbingan dan teraju pemimpin kedua-dua buah negara.

Oleh itu, forum berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan lagi kolaborasi di antara Brunei dan China, dengan tokoh-tokoh penting dalam bidang akademik serta juga industri dari kedua-dua buah negara untuk berkongsi hubungan dua hala daripada perspektif pendidikan dan industri.

Semasa forum berkenaan, Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dalam ucaptama mengetengahkan kolaborasi UTB dan Republik Rakyat China di mana kedua-dua belah pihak menikmati hubungan yang baik menerusi pertukaran kebudayaan pelajar dan kakitangan serta kolaborasi industri.

Beliau menyatakan harapan Brunei dan China akan terus bekerjasama bagi mengukuhkan lagi sinergi strategi pembangunan kebangsaan masing-masing dan menyokong pembangunan mampan ekonomi serta usaha kepelbagaian kedua-dua buah negara.

Forum berkenaan turut menyaksikan Dekan China Institute of International Affairs dan bekas Duta Republik Rakyat China ke ASEAN, TYT Xu Bu menyampaikan ucaptama.

Majlis diteruskan dengan penandatangan Perjanjian Kerjasama Akademik di antara Civil Engineering and Architecture of Guangxi University, China dan Fakulti Kejuruteraan, UTB dalam beberapa bidang termasuk penyelidikan bersama, akademik, penyertaan dalam bengkel dan seminar serta pertukaran pelajar, anggota fakulti dan kakitangan.