Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Forum perkukuh kerjasama pelaburan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Sebahagian daripada acara di bawah Dialog Kerjasama Kesultanan Oman-Brunei Darussalam yang julung kali diadakan bersempena Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Brunei Darussalam-Kesultanan Oman (BOJC) ke-3, Forum Pelaburan telah berlangsung di Bilik Persidangan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada forum anjuran bersama Kedutaan Kesultanan Oman di Brunei Darussalam dan UBD itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

    Turut hadir ialah Duta Besar Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Sheikh Ahmed bin Hashil Al Maskari; Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan kakitangan akademik dari UBD.

    Dalam ucapan alu-aluannya, TYT Sheikh Ahmed menjelaskan bahawa Forum Pelaburan itu bertujuan untuk memperkenalkan peluang pelaburan di samping iklim pelaburan di Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam serta undang-undang dan perundangan yang mengawal aktiviti ekonomi dan pelaburan di kedua-dua buah negara.

    Forum berkenaan dijangka menyumbang kepada hala tuju baharu dalam kerjasama bersama antara kedua-dua buah negara dalam bidang yang dinyatakan dan mencari mekanisme untuk pembangunannya, di samping mendapat manfaat daripada pengalaman kedua-dua negara dalam hal tersebut.

    Tuan Yang Terutama juga berkata, memandangkan Kesultanan Oman dan Brunei Darussalam bercita-cita tinggi melihat jauh melangkaui sektor minyak dan gas, forum berkenaan menambah nilai yang amat diperlukan kepada kerjasama negara-negara bersaudara dalam bidang pelaburan dan bidang lain yang berkaitan.

    Forum seterusnya menampilkan pembentangan oleh Pengurus Pelaburan Kepelbagaian Ekonomi Pihak Berkuasa Pelaburan Oman (OIA), Thuraiya Ahmed Al-Belushi, dan Pengurus Besar Comquest Sdn Bhd, Gaurav Shrotriya.

    Forum Pelaburan diakhiri dengan sesi soal jawab yang dikendalikan oleh Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global) UBD, Dr Joyce Teo Siew Yean.

    Dr Hajah May Fa’ezah hadir bersama tetamu lain pada Forum Pelaburan yang berlangsung di Bilik Persidangan Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA), Universiti Brunei Darussalam, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...