Forum persiapkan belia hadapi cabaran masa depan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OGOS – Majlis Belia Brunei (MBB) dengan kerjasama ASEAN Youth Advocates Network (AYAN) telah mengadakan Forum Belia ASEAN ke-11 dengan tema Future Ready in the New Normal semasa Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-16.

Seramai 75 perwakilan yang terdiri daripada belia berusia antara 18 hingga 31 tahun dari 10 buah negara anggota ASEAN mengikuti program tersebut yang dibahagikan kepada dua sesi iaitu forum dan bengkel yang dijalankan secara maya. Sementara itu, seramai 100 peserta lain turut serta sebagai pemerhati dalam sesi forum, yang terdiri daripada pelajar, kakitangan kerajaan, pekerja sektor swasta dan pencari kerja.

Turut hadir ialah Ahli Mesyuarat Negara dan Presiden MBB, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Objektif forum berkenaan adalah untuk merumuskan idea dan cadangan bagaimana meningkatkan peranan belia ASEAN dalam mewujudkan pembangunan lestari dan memastikan kesediaan belia ASEAN menghadapi cabaran masa depan seperti Revolusi Industri 4.0 dan peluang seperti keusahawanan dalam normal baharu pasca pandemik.

Sesi pertama dimulakan dengan bengkel bertajuk ‘Pendidikan di Dekad Baharu: Berfikir di Luar Kotak’ di mana Profesor Madya Dr Chang Yau Hoon dari Universiti Brunei Darussalam berkongsi mengenai memikirkan semula kaedah pembelajaran dan cara untuk belajar semula.

Manakala itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Blue Dragon Children’s Foundation, Michael Brosowski berkongsi pengalamannya bekerja dengan anak-anak yang menghadapi pelbagai cabaran (kanak-kanak jalanan, kehilangan tempat tinggal dan terlibat dalam perdagangan manusia) di Vietnam.

Beliau juga menceritakan bagaimana yayasan tersebut dapat membantu anak-anak pulih daripada trauma dan kembali ke sistem pendidikan dengan memberikan mereka bukan hanya pendidikan yang komprehensif tetapi menekankan pentingnya memberikan kemahiran yang tidak formal seperti bagaimana menangani konflik, menyelesaikan masalah, bagaimana bekerja secara berpasukan dan kemahiran dalam kepimpinan.

Penceramah terakhir ialah Petugas Khas kepada Presiden Indonesia, Ayu Kartika Dewi yang menekankan pentingnya memahami pemikiran kritikal, mengenal pasti gejala dan juga kesihatan mental.

Sesi bengkel diadakan selepas forum untuk membolehkan setiap peserta berbincang dan memberikan maklum balas serta perspektif mereka mengenai topik-topik yang disampaikan oleh para penceramah dan di akhir sesi bengkel, mereka membentangkan perbincangan masing-masing.

Antara topik yang dibincangkan adalah mengenal pasti kemahiran yang relevan dan difikirkan perlu dimasukkan dalam sistem pendidikan, antaranya kreativiti, kemahiran inovasi, literasi digital dan penglibatan budaya, serta cabaran yang dihadapi oleh institusi akademi dalam menerapkan keseimbangan latihan kemahiran dan pembelajaran.

Para peserta akan mengambil bahagian dalam dua forum lain bertajuk ‘Pekerjaan (Kemahiran dan Masa Depan Pekerjaan)’ dan ‘Peranan Belia dalam Komuniti’ yang masing-masing akan diadakan pada 14 dan 21 Ogos. Para peserta juga akan bekerjasama untuk menghasilkan Kenyataan Belia ASEAN dan ASEAN Zine yang akan dibentangkan kepada menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal belia (AMMY) pada akhir bulan ini.

Forum Belia ASEAN dianjurkan dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Sekretariat ASEAN serta disokong oleh Forum Belia ASEAN (NGO Indonesia) sebagai rakan media.