Forum promosi kemajuan pendidikan, latihan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Menteri Pendidikan,Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman mengongsi bahawa Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China mempunyai kepentingan bersama dalam mempromosikan kemajuan pendidikan dan latihan serta pendidikan teknikal dan vokasional, terutamanya pada masa ini dimana pelbagai disruptive technologies seperti kecerdasan buatan (Artificial Intelligence), pembelajaran mesin, 5G dan kesalinghubungan yang lebih baik, dalam menuntut kecekapan dan kemahiran peringkat tinggi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah mengongsi perkara itu dalam sidang kemuncak forum ketika menghadiri Pameran dan Forum Pendidikan Vokasional China-ASEAN 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, sidang kemuncak forum berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.

Dalam perkongsian berkenaan lagi, Yang Berhormat Dato juga mengucapkan tahniah kepada Republik Rakyat China dalam menganjurkan acara berkenaan, dan berharap akan dapat mengukuhkan lagi kolaborasi dan kerjasama yang memberikan manfaat kepada semua pihak dalam usaha untuk meningkatkan masa depan yang sejahtera dan lestari bersama.

Kenyataan menyatakan bahawa acara itu adalah untuk mempromosikan inovasi yang berkolaboratif serta membangun landasan pertukaran dan kerjasama bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di antara Republik Rakyat China dan negara-negara anggota ASEAN, sebagai sebahagian daripada Inisiatif Belt and Road.

Acara berkenaan telah diadakan sebanyak lima kali sejak 2012, di Wilayah Autonomi Guangxi Zhuong Republik Rakyat China dan pada 2021, ia juga menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan dialog antara Republik Rakyat China dan negara-negara anggota ASEAN.

Pameran dan Forum Pendidikan Vokasional China-ASEAN 2021 diadakan di Nanning, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuong Republik Rakyat China, melalui kaedah fizikal dan dalam talian, yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Rakyat Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Republik Rakyat China.

Acara itu telah dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan, menteri-menteri dan pemimpin-pemimpin dari China dan negara-negara anggota ASEAN, pengarah-pengarah dari organisasi antarabangsa serta presiden institusi pendidikan dan para usahawan.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan semasa menghadiri forum Pameran dan Forum Pendidikan Vokasional China-ASEAN 2021 secara maya, kelmarin. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan.