Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Dengan tema ‘Kesaksamaan Jantina Hari Ini untuk Masa Depan yang Mampan’, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah mengadakan forum bertajuk ‘Penglibatan Lelaki dalam Menyokong Kaum Wanita’, hari ini.
Forum bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2022 itu diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom dan turut dihadiri lebih 140 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, persatuan-persatuan badan bukan kerajaan (NGO) dan penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi.
Dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sutera Memento, Hajah Kartini Dewi Abdullah selaku moderator, forum menampilkan pensyarah dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Hajah Ummi Fa’izah binti Haji Abdul Rahman; Pegawai Sejarah Kanan, Pusat Sejarah Brunei selaku Pesuruhjaya Perhubungan Awam dan Penerbitan di Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Awang Muhammad Syahmi bin Halimshah, dan pengasas bersama Projek Feed, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sallehuddin selaku ahli-ahli panel.
Objektif utama forum berkenaan adalah untuk memupuk kesefahaman pasangan dalam mengimbangi peranan dan tanggungjawab keharmonian rumah tangga dengan tujuan untuk meningkatkan sokongan moral dan emosi antara pasangan dalam semua bidang pekerjaan dan keusahawanan.
Topik penglibatan lelaki dalam menyokong kaum wanita yang dibincangkan dalam forum berkenaan memfokuskan cara-cara untuk menyokong wanita dalam situasi pandemik COVID.
Ahli-ahli panel telah membincangkan perkara-perkara yang perlu diterapkan untuk mencapai keharmonian rumah tangga dalam situasi jika kedua-dua suami dan isteri bekerja sebagai barisan hadapan.
Forum juga mengongsikan saranan-saranan yang dapat membantu suami dan isteri dalam membentuk komunikasi yang baik.