Forum serlahkan manfaat khidmat masyarakat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Unit Kokurikulum Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Kumpulan Al-Qudwah UNISSA baru-baru ini telah menganjurkan forum bertemakan ‘Khidmat Masyarakat di Era Pandemik’ secara maya.

Seramai 100 orang mahasiswa dan mahasiswi UNISSA Tahun 1 dan 2 telah menyertai forum yang membincangkan tentang manfaat khidmat masyarakat secara umum.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menitipkan motivasi kepada para peserta melalui perkongsian daripada pelajar yang terlibat aktif sebagai sukarelawan barisan hadapan dan mengongsi tips pengurusan masa sebagai pelajar walaupun aktif dalam kerja khidmat masyarakat.

Acara diisikan dengan ucapan pengerusi program, Dr Hajah Ummi Fai’izah binti Haji Abdul Rahman dan Penyelaras Khidmat Masyarakat UNISSA, Hajah Idahwati binti Haji Idris diikuti sesi forum.

Ahli panel yang terlibat di dalam forum ini ialah Awang Muhammad Ashmeer S/O Imtiaz dari Bahagian Bantuan Kebajikan Am, Jabatan Pembangunan Masyarakat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan; Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang UNISSA, Dr Hafini bin Mahmud dan Pengerusi Kumpulan Al-Qudwah, Dayang Nurul Jarirah binti Johari yang juga merupakan mahasiswi Tahun 4 Sarjana Muda Sains Halal.