Forum Sidang Kemuncak Pendidikan Vokasional China-ASEAN

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, semalam, telah menyertai Forum Sidang Kemuncak Pendidikan Vokasional China-ASEAN 2021, secara dalam talian.

Forum anjuran Kementerian Pendidikan China dan Pemerintahan Rakyat Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Republik Rakyat China yang berlangsung di Nanning, Guangxi itu diadakan untuk mempromosikan inovasi kolaboratif, dan pertukaran kerjasama untuk pendidikan vokasional antara negara-negara China dan ASEAN.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di ini, 2021 menandakan ulang tahun ke-30 terjalinnya hubungan dialog antara China dan ASEAN. Sebagai pusat serantau dalam pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) di rantau ini, SEAMEO VOCTECH telah mengikuti minggu Kerjasama Pendidikan China-ASEAN sejak 2012.

Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam ucaptama pada forum sidang kemuncak berkenaan, berkongsi bahawa di ASEAN, baik di peringkat serantau dan nasional, TVET telah mendapat populariti walau masih di tahap yang agak rendah di beberapa buah negara.

Menurut beliau, TVET memainkan peranan penting dalam mempersiapkan tenaga kerja yang mahir serta menawarkan peluang untuk semua orang, yang ingin mengembangkan kemahiran mereka untuk pekerjaan yang lebih baik demi kualiti hidup yang lebih baik.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa menyertai Forum Sidang Kemuncak Pendidikan Vokasional China-ASEAN 2021, secara dalam talian. – Gambar serahan SEAMEO VOCTECH

Dengan tahap perkembangan teknologi semasa, hampir semua pekerjaan yang berkembang memerlukan minda dan badan, gabungan kemahiran berfikir dan kemahiran serta kemahiran insaniah atau sifat suka hati.

Untuk terus relevan, TVET harus dinamik dan responsif terhadap keperluan industri semasa dan masa depan. Penglibatan sektor swasta juga merupakan kunci utama untuk menjadikan TVET tetap relevan dalam banyak cara seperti dengan menyediakan sumber, kepakaran, dan persekitaran kerja yang sebenar.

Beliau kemudian berkongsi bahawa pada era global, pelajar perlu memiliki pemahaman lintas budaya dan dapat bekerja dengan mereka yang dari pelbagai bangsa.

Forum Sidang Kemuncak Pendidikan Vokasional China-ASEAN, tambah beliau, adalah jalan yang sangat baik untuk memperkukuhkan kerjasama pusat tersebut dengan Pendidikan Vokasional China-ASEAN dan untuk membuka peluang kepada kakitangan dan pelajar untuk belajar di luar negara memperoleh pengalaman bekerja dan belajar dengan orang-orang daripada pelbagai latar belakang.