Forum tangani stigma kesihatan mental

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kira-kira 400 peserta mengambil bahagian dalam forum maya hari ini dengan topik ‘Pendidikan Semasa Pandemik: Kesan Kesihatan Mental COVID-19 yang Semakin Meningkat kepada Pendidik dan Pelajar’.

Forum anjuran Majlis Belia Brunei, sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental antara lain bertujuan meninjau bagaimana pendidik dan pelajar telah terjejas oleh sekatan separa berhubung dengan kesihatan mental mereka. Di samping membina kesedaran mengenai keperluan kesihatan mental pendidik dan pelajar serta kebimbangan mereka yang mana forum berkenaan turut menangani stigma yang menyelubungi isu kesihatan mental.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Di-Pertua Majlis Belia Brunei, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari hadir selaku tetamu kehormat majlis, dalam ucapannya, menekankan semakin ramai pelajar menyatakan kerisauan mengenai kemurungan dan tidak banyak kajian yang dilakukan mengenai situasi kesihatan mental di kalangan pelajar dan belia.

Beliau turut menyatakan bahawa, menurut Kementerian Kesihatan tahun lepas, kira-kira 7,000 orang sedang dirawat kerana penyakit mental di negara ini dan bilangan orang yang mengalami masalah mental menyumbang 1.5 peratus daripada penduduk Brunei.

“Apabila Brunei memasuki penutupan separa COVID-19 pada Ogos, bilangan panggilan ke talian hotline kesihatan mental, Talian Harapan 145 telah meningkat tiga kali ganda.” “Walau bagaimanapun, tidak banyak kajian yang memfokuskan mengenai bagaimana kesihatan mental telah mempengaruhi populasi yang lebih muda secara amnya, terutamanya mereka dalam sektor pendidikan,” jelasnya.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa bersama peserta lain semasa forum yang dianjurkan baru-baru ini. – Gambar serahan Majlis Belia Brunei