Forum tekankan peranan belia menuju wawasan 2035

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Sempena Sambutan Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) serta ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri telah mengungkayahkan forum yang mengetengahkan ‘Peranan Belia Menuju Wawasan 2035’.

Hadir selaku tetamu kehormat pada program yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said.

Forum dipengerusikan oleh Ketua Belia Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohd Zulhazwan bin Majid dan ahli-ahli panelnya terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Pengiran Mohd Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Selahudin dan ahli Beliawanis Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, Hajah Siti Nurul Hazwani binti Haji Mohd Yussof.

Selain memperingati Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah, acara juga bertujuan untuk memberikan kesan penghijrahan melalui forum serta untuk memberi peluang kepada belia dan beliawanis masjid berkumpul serta beramah mesra bersama pemimpin.

Di samping itu, ia juga untuk mengajak belia dan beliawanis masjid bagi sama-sama mendengar kesan bahaya gejala sosial termasuk penyalahgunaan dadah seterusnya memberi peluang para ibu bapa bagi sama-sama mendengar dan memantau kegiatan anak-anak mereka.

Program seumpamanya juga akan dilaratkan ke daerah-daerah lain mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Awang Mohd Zulhazwan mempengerusikan forum yang menampilkan Pengiran Mohd Faris Ramadhani dan Hajah Siti Nurul Hazwani selaku ahli panel.
Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin hadir selaku tetamu kehormat pada forum sempena Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah berkenaan.