Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Lebih 200 orang jururawat dan bidan telah menghadiri forum bertajuk Kepimpinan dan Pengurusan Kejururawatan dan Perbidanan yang berlangsung di Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.
Forum diadakan untuk memperkasakan para jururawat dan bidan yang baru menamatkan pengajian bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan dan pengurusan seterusnya memastikan tatacara penjagaan kesihatan pesakit yang berkualiti dan lebih berkesan di negara ini.
Dianjurkan oleh Persatuan Jururawat Negara Brunei Darussalam (PENJURU) dengan kerja-sama Program Kejururawatan dan Perbidanan, PAPRSB IHS itu berobjektif agar jururawat dan bidan peka dengan perkembangan dan transformasi sistem perkhidmatan kesihatan yang terkini, selain menjadi salah satu platform untuk menyampaikan maklumat kepada jururawat dan bidan mengenai peranan yang dimainkan oleh Persatuan PENJURU dalam meningkatkan imej profesion itu.
Dengan adanya forum berkenaan, ia diharap menjadi inspirasi kepada semua untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mengembangkan sikap positif terhadap profesion kejururawatan dan bidan.
Di samping itu juga mengembangkan keupayaan untuk menganalisis masalah dan kerjasama dengan masyarakat juga melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan bagi memikul tugas tersebut.

Pelbagai usaha telah diambil oleh Persatuan PENJURU dalam memajukan profesion kejururawatan dan bidan seiring dengan kemajuan sistem kesihatan negara.
Ini bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dengan menyelaras dan melaksanakan aktiviti-aktiviti pendidikan dalam perkhidmatan, kerana jururawat dan bidan yang berdaftar di negara ini merupakan enjin penting kepada sistem penyampaian kesihatan terhadap masyarakat.
Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Perkhidmatan Kejururawatan TAMADA Brunei Darussalam, Haji Julaini bin Haji Latip; Penolong Profesor dan Penolong Ketua Program Kejururawatan dan Perbidanan, PAPRSB IHS, Dr Deeni bin Idris; dan Pegawai Jururawat Tingkat Khas, Ketua Sekretariat Lembaga Kejururawatan Brunei Darussalam, Hajah Milazita binti Haji Leman.
Manakala Pemangku Setiausaha Persatuan PENJURU, Hajah Jainah binti Haji Musa selaku moderator forum.
Turut hadir pada acara itu ialah Yang Dipertua Persatuan PENJURU, Datin Paduka Hajah Suraya Noraidah binti Abdullah dan Profesor Akademia Klinikal dan Dekan PAPRSB IHS, Dr Kenneth Yuh Yen Kok.
Antara yang hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan di Kementerian Kesihatan, tenaga-tenaga akademik dari institusi-institusi pendidikan kejururawatan dan perbidanan dan para jururawat serta bidan yang bertugas di sektor kerajaan dan swasta di negara ini.
Bidang kejururawatan dan perbidanan merupakan satu kerjaya profesional yang memerlukan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi, komited, cekap dan sedia berkhidmat tanpa mengira tempat, bangsa dan agama.
Gabungan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi dapat membantu jururawat dan bidan bersedia menghadapi sebarang situasi kritikal yang berpusatkan kepada pesakit dan komuniti.