Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Dengan matlamat untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran kepada warga institusi pendidikan mengenai buli, Kementerian Pendidikan mengadakan Forum Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab (BEST) 2023 yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SR YSHHB), kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian sijil dan cenderahati ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan serta pemimpin-pemimpin sekolah dan pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari sekolah-sekolah menengah seluruh negara.
Forum dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran dan Kaunselor Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Hajah Kamariah binti Haji Kasah dengan ahli panel terdiri daripada Konsultan Oftalmologi di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dan Superintenden Perubatan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, Pengiran Dr Noor Affizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman; Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yusof bin Haji Abdul Majid; Pengasas Bersama Young Professional Network Brunei, Awang Mohammad Ashmeer Imtiaz bin Ahmad dan Kaunselor Sekolah, Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Roslan bin Haji Yakub.
Program BEST dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan sebagai usaha berterusan dalam menjana suasana persekitaran institusi yang lebih positif, meningkatkan keyakinan diri dan selamat untuk pelajar.
Perbagai aktiviti di bawah program itu dijalankan sepanjang bulan ini di mana acara kemuncak program akan berlangsung pada 26 November.
Ia bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan pengetahuan melalui penyebaran maklumat yang khusus untuk mendidik para pelajar dalam mengawal diri supaya isu buli dapat dielakkan, mengenal pasti jenis-jenis buli yang sering terjadi ke atas pelajar serta mendedahkan kepada pelajar akan bahaya buli dan kesannya yang mana seterusnya diharapkan akan melahirkan pelajar yang berdisiplin, saling menghormati serta mempunyai peribadi dan akhlak yang baik.
Forum itu merupakan salah satu pengisian dalam Program BEST yang telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan Negara Brunei Darussalam bagi UNESCO pada 2 November lalu, bersempena Hari Antarabangsa Menentang Keganasan dan Buli di Sekolah Termasuk Buli Siber.
Tema bagi forum itu, Bersama Kitani Menyokong BEST, bertujuan untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran kepada warga institusi pendidikan tentang buli.
Ia merupakan salah satu usaha kementerian dalam membendung dan mencegah gejala buli berlaku dalam kalangan pelajar di institusi pendidikan.
Antara perkara yang ditekankan semasa forum berkenaan adalah perkongsian isu-isu buli, pendekatan dari pelbagai agensi serta langkah-langkah yang diambil dari pelbagai pihak.