Fosil cangkerang di pusat beli-belah di Bangkok disahkan tulen

BANGKOK, 28 APRIL – Jabatan Sumber Mineral Thailand mengesahkan fosil amonit (fosil cangkerang berbentuk lingkaran) yang ditemukan tertanam di laluan pejalan kaki berhampiran pusat beli-belah di Bangkok adalah tulen.

Dalam satu kenyataan, ketua pengarah Jabatan Poongboon Pongthong berkata sepasukan ahli geologi telah memeriksa fosil itu selepas gambarnya tular di media sosial awal minggu ini.

Beliau berkata fosil amonit itu terdapat pada lantai terazo.

“Selepas pemeriksaan, ahli geologi mendapati fosil amonit itu tulen. Pasukan itu menemukan sejumlah 77 keping fosil dalam pelbagai saiz, antara dua hingga 12 sentimeter, bertaburan di sepanjang 400 meter laluan pejalan kaki di Siam Square 7,” katanya.

Beliau berkata fosil amonit yang berusia sehingga ratusan juta tahun itu daripada sumber pelbagai negara tetapi kebanyakannya dari Madagascar.

Fosil itu dipercayai diletakkan oleh kontraktor yang diupah oleh Universiti Chulalongkorn pada 2020 ketika proses mengubah suai laluan pejalan kaki.

“Mereka mungkin tidak tahu asal usul fosil yang digunakan untuk hiasan itu,” katanya.

Sementara itu, pakar kanan pengurusan sumber mineral, Suwit Kosuwan berkata adalah lumrah untuk menjumpai fosil dalam bahan binaan.

Beliau percaya kontraktor telah membeli fosil itu dalam talian dan menambahnya pada lantai terazo. – Bernama

Ahli geologi dari Bahagian Perlindungan Fosil memeriksa fosil amonit. Sementara gambar sisipan menunjukkan salah satu daripada 77 fosil yang ditemui di sepanjang jalan di gedung beli-belah Siam Square, Bangkok. – BangkokPost