Fosil dinosaur bakal dipamer

LANGKAWI, 8 OKT – Fosil dinosaur dari Zigong, China akan dipamerkan di Pusat Penemuan Langkawi Geopark di Kilim Karst Geoforest Park, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan.

Beliau berkata penempatan spesimen tersebut dilaksanakan menerusi pertukaran sementara antara Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) dengan Zigong UNESCO Global Geopark.

“LUGGp ada perancangan dengan pihak Zigong UNESCO Global Geopark untuk bertukar-tukar bahan, termasuk fosil dinosaur dari sana manakala batu-batuan dari Langkawi akan ditempatkan di Zigong.

“Kita sedang perincikan perkara tersebut dalam tempoh setahun ini sebelum spesimen dinosaur tersebut dipamerkan di Pusat Penemuan Langkawi Geopark,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kursus Serantau UNESCO Global Geopark 2019 di Ombak Villa, di sini.

Turut hadir Naib Presiden Rangkaian Geopark Global UNESCO, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo.

Mengulas lanjut, Hezri berkata selain Zigong UNESCO Global Geopark, LUGGp juga akan meneruskan kerjasama dengan geopark lain di dunia.

“Kita dah ada Pusat Penemuan Langkawi Geopark, jadi program dengan geopark lain di seluruh dunia akan dilaksanakan menerusi pelbagai pertukaran spesimen berbeza. Ini inisiatif untuk kita mengenali geopark lain di seluruh dunia menerusi pertukaran khazanah geologi untuk ditempatkan bagi tempoh tertentu,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim berkata UNESCO tidak membenarkan warisan geologi seperti fosil dinosaur untuk dijual beli, namun begitu pinjam atau bertukar buat sementara waktu dibolehkan. “Menerusi kerjasama dengan Zigong UNESCO Global Geopark, kita pinjam spesimen fosil dan pamerkan di Pusat Penemuan Langkawi Geopark untuk kita sebarkan mengenai geopark mereka.

“Di pihak Zigong UNESCO Global Geopark menerusi penempatan batu-batuan dari Langkawi mereka akan sebarkan mengenai geopark kita pula,” katanya beliau yang juga penasihat LUGGp. – Bernama